KEKALAHAN 0-5 Johor Darul Ta'zim (JDT) kepada jaguh kelab Jepun, Kawasaki Frontale dalam perlawanan kedua Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2022 ibarat sudah dijangka penyokong.
Melihat kepada barisan pemain yang diturunkan dan taktikal yang digunakan pengendali JDT, Benjamin Mora, kekalahan itu sudah boleh dirasakan walaupun sebelum ini JDT berjaya mengekang pasukan dari Jepun itu untuk menjaringkan sebarang gol.
Seorang warganet, Wei Xiong berkata, Mora dilihat seperti sudah mengetahui yang pasukannya akan tewas kepada Kawasaki Frontale.
"Daripada barisan pemain pun kita dah nampak. Mungkin jaga stamina pemain yang sudah beraksi dalam dua perlawanan. Alasan apa lagi kan?
"Standard yang mengecewakan. Jurang yang sangat memalukan. Nampak sangat perlawanan itu seperti disia-siakan," katanya.
Sementara itu, seorang lagi pengguna media sosial, Vincent T Ryushou berkata, taktik bertahan yang digunakan JDT memang tidak sesuai dan dianggap sebagai membunuh diri.
"Ini peristiwa memalukan serta meninggalkan kesan mendalam untuk sejarah bola sepak JDT. JDT sekarang perlu beri tumpuan kepada perlawanan seterusnya dan jangan kecewakan penyokong," katanya.
Aidil melompat tinggi dalam usaha untuk mendapatkan bola daripada penjaga gol Kawasaki Frontale.
Barisan kedua JDT longlai, Aidil seperti Harry Maguire
Selain taktikal Mora yang dilihat tidak menjadi, kemampuan barisan kedua yang diturunkan juga dilihat terlalu berbeza dengan aksi kesebelasan utama.
Perkara itu turut diutarakan penyokong, Muhd Azamuddin yang berkata, skuad kedua JDT perlu mempunyai tahap kualiti yang sama seperti kesebelasan utama.
"Barisan pemain semalam memang nampak gagal untuk bermain dalam perlawanan yang berintensiti tinggi. Terlalu banyak ruang yang diberikan kepada pihak lawan," katanya.
Selain itu, aksi Aidil Zafuan juga dilihat begitu lemah sehingga ramai yang menyamakannya dengan pemain Manchester United, Harry Maguire.
"Apa dah jadi dengan Aidil, tidak fokus untuk menjaga pergerakan lawan," kata Yahya Yahya.
Seorang lagi penyokong, Nur Zahra berkata, marking, tackling dan positioning yang lemah oleh Aidil menjadi punca pihak lawan mendapat gol.
"Pemain-pemain yang diganti sepatutnya mempunyai stamina yang baik manakala Aidil pula sudah berusia untuk permainan berintensiti tinggi di peringkat Asia," katanya.
Untuk rekod, dalam perlawanan yang diadakan Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada Ahad itu, kekalahan JDT menyaksikan Kawasaki Frontale kini menghuni tangga pertama kumpulan.
JDT pula berada di tangga kedua bersama Ulsan Hyundai selepas berkongsi tujuh mata sama tetapi dipisahkan dengan beza jaringan gol. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram