NEGERI Sembilan FC (NSFC) terus mencatatkan rekod tanpa kalah dalam saingan Liga Super musim ini apabila menumpaskan Kuala Lumpur City FC (KL City) 2-1 pada Ahad.
Dua jaringan oleh pemain pertahanan import, Herold Goulon sudah memadai memastikan kemenangan milik Hobin Jang Hobin di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan.
NSFC kini di tangga keempat dengan 11 mata, hanya dipisahkan satu mata dengan tiga pasukan teratas iaitu Johor Darul Ta'zim (JDT), Sabah FC dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC).
Menjengah di media sosial, para peminat NSFC memuji impak yang ditonjolkan oleh Goulon pada musim ini.
Goulon tiba dari Sri Pahang musim ini. — Facebook NSFC
"Apa yang saya nampak sekarang ini, Goulon pemain serba boleh. Dia yang jaringkan gol, dia yang buat 'pahala bulan Ramadan' sedekahkan gol pada KL.
"Dia juga yang mengatur gerak permainan dari bawah dan dia menjadi wira jaringkan gol kemenangan.
"Satu pembelian yang amat berbaloi untuk NSFC tahun ini.
"Harap pemain-pemain lain baiki kesilapan. Tajamkan penyudah, sampai bila nak harapkan Goulon," kata pengguna Facebook, Aymie Aymie menerusi hantaran di laman media sosial berkenaan.
Goulon meninggalkan Sri Pahang FC untuk menyertai NSFC musim ini dan segera mencipta impak.
Daripada lima perlawanan Liga Super setakat ini, Goulon menjaringkan empat gol. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram