SKUAD Penang FC yang terikat 1-1 menentang Negeri Sembilan FC pada aksi Liga Super pada Sabtu, lebih optimis dengan prestasi mereka untuk bertemu Kedah Darul Aman FC pada perlawanan seterusnya, 17 April ini.
Ketua jurulatih Penang FC, Tomas Trucha berkata, prestasi pemain dalam perlawanan malam Sabtu boleh dibanggakan kerana pasukan menunjukkan peningkatan dan kemajuan walaupun tuah tidak menyebelahi mereka.
"Perlu juga diberi perhatian bahawa 12 orang dalam skuad 20 pemain malam tadi adalah muka baharu. Daripada pandangan saya, saya melihat perkembangan dan persembahan pemain juga bertambah baik.
"Kami akan terus mara, fokus kepada latihan dan mengubah nasib pasukan kami...perlawanan menentang Kedah nanti akan melibatkan formasi dan gaya permainan berbeza,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan di Stadium Bandaraya di George Town, Pulau Pinang.
Pada perlawanan itu, pemain tuan rumah, Hilal El-Helwe dan penyerang pasukan pelawat Zaquan Adha Abd Radzak masing-masing menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-39 dan minit ke-33 babak pertama.
Sementara itu, ketua jurulatih Negeri Sembilan FC, K Devan berkata, kebanyakan anak buahnya tidak menunjukkan tahap yang sama seperti dua perlawanan lepas.
"Secara keseluruhannya, saya rasa satu mata adalah lebih baik daripada kita pulang dengan tangan kosong,” katanya.
Keputusan itu menyaksikan Penang FC terperosok di tangga ketujuh Liga Super dengan tiga mata apabila sekadar melakar tiga keputusan seri dan satu tewas sementara Negeri Sembilan FC kini di tangga kelima dengan lima mata. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram