N9 layak bolot tiga mata — K Devan


  • Podium
  • Isnin, 18 Apr 2022

Pemain Negeri Sembilan, Zaqua Adha Abdul Razak (dua dari kanan) dikawal pemain Pj City pada aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.— Sinar Harian

KEMENANGAN bergaya 3-1 Negeri Sembilan FC ke atas PJ City FC dalam perlawanan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban, Negeri Sembilan pada Sabtu disifatkan sebagai sesuatu yang layak berdasarkan persembahan cemerlang dipamerkan para pemain.

Bagaimanapun, pengendali Hobin Jang Hobin, K Devan mengakui PJ City FC sebagai pasukan tidak mudah ditundukkan, namun para pemain tuan rumah telah memberikan komitmen terbaik dalam perlawanan itu sekali gus menyaksikan kebangkitan semula pasukan itu dalam Liga Super.

“Negeri Sembilan menunjukkan persaingan yang baik dalam aksi Liga Super kali ini...dan saya rasa kami layak menang malam tadi dengan prestasi yang ditunjukkan. Dalam babak pertama kalau tengok, Negeri Sembilan berjaya mengawal permainan.

“Kami juga menghasilkan peluang untuk menjaringkan gol. Walaupun awalnya kita tak dapat jaringkan beberapa gol tetapi akhirnya dapat gol melalui sepakan penalti,” katanya selepas perlawanan tersebut.

Sementara itu, penyerang gantian Negeri Sembilan, Sean Eugene Selvaraj yang berjaya meledak jaringan dalam perlawanan tersebut menyifatkan peluang diberikan Devan perlu dimanfaatkan sepenuhnya dan dibuktikan melalui kesungguhan bermain.

“Jika saya tidak menjaringkan gol, tidak mengapa tetapi saya perlu mencipta peluang bersama rakan sepasukan ketika perlawanan...tiga mata dalam perlawanan ini sangat penting untuk kami dan saya amat berbangga dengan prestasi pasukan,” katanya. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram