KEMENANGAN yang dicapai JDT terhadap pasukan daripada Korea Selatan, Ulsan Hyundai sememangnya layak dibanggakan apatah lagi menentang pasukan yang lebih berkemampuan.
Namun dalam aksi di peringkat Kumpulan I Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada Isnin itu, ada seorang pemain yang dilihat berjaya mengimbangi pasukan JDT dengan kemahiran dan hantaran yang cantik.
Pemain itu ialah Natxo Insa yang beraksi di bahagian tengah dan pertahanan. Bukan sahaja lincah dalam mengawal dan melakukan hantaran, Insa juga cukup cekap merampas bola daripada pihak lawan.
Tindakan Insa itu yang dilihat merencatkan sedikit strategi serangan Ulsan Hyundai.
Aksi Natxo Insa bersama kelab La Liga, Levante.
Natxo Insa berkemahiran tinggi dan berpengalaman
Pengalaman sebenarnya memberi kelebihan kepada Insa untuk beraksi dengan tenang sekaligus mampu mengawal bola dengan baik.
Warganet, Muhammad Azammuddin menganggap yang negara masih belum mampu untuk melahirkan pemain yang mempunyai asas bola sepak yang sangat baik seperi Insa.
"Insa ibarat segalanya bermula daripada perlawanan pertama JDT sehinggalah baru-baru ini. Kawalan dia memang boleh disamakan dengan pemain Eropah," katanya.
Seorang lagi warganet, Clarence Hr juga memuji Insa apatah lagi Insa dengan selamba melepasi empat pemain yang mengawalnya sebelum melakukan hantaran ke rakannya.
"Memang gila, ketenangan dia ini ibarat macam tiada jantung, semua tempat (dalam padang) dia ada," katanya.
Aksi Natxo Insa bersama skuad kebangsaan pada 2018.
Aksi bersama skuad kebangsaan
Melihat kepada aksi Insa, ada yang sudah mula membayangkan jika pemain itu dipanggil beraksi bersama skuad kebangsaan untuk kelayakan ke Piala Asia 2023.
"Bayangkan Insa berganding dengan Safiq dan Brendan Gan dalam kelayakan Piala Asia nanti," kata Mohd Azmi.
Pengendali skuad bola sepak kebangsaan, Kim Pan Gon mungkin sudah boleh menilai aksi yang ditampilkan Insa apatah lagi ramai yang memujinya.
Malah seorang warganet, Han Erc juga menganggap Insa sebagai pemain terbaik dalam perlawanan tersebut.
"Pemain terbaik memang layak diberikan kepada Natxo. Tenang mengawal bola," katanya.
Untuk rekod, hanya sekali sahaja Insa dipilih bagi bermain bersama skuad kebangsaan iaitu pada Mac 2018 ketika menentang Mongolia.
Menerusi prestasi ditahap yang terbaik kini, pasti penyokong akan setuju jika Insa dipanggil untuk menyarung jersi skuad kebangsaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram