Akhirnya dendam berbalas, Shahrul Saad puas hati dapat tumpaskan Ulsan Hyundai


  • Podium
  • Selasa, 19 Apr 2022

JDT berjaya menundukkan Ulsan Hyundai menerusi jaringan Fernando Forestieri dan Bergson da Silva. — Facebook

"SAYA puas hati dapat balas dendam," itu luahan permain pertahanan Johor Darul Ta'zim (JDT) Shahrul Saad susulan kejayaan pasukannya menumbangkan juara dua kali dan naib juara Liga Korea Selatan (K-League), Ulsan Hyundai.

Mencipta kejutan dengan gol 2-1, perlawanan kedua Kumpulan I, Liga Juara-Juara Asia (ACL) itu berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada Isnin.

Menurut Shahrul, kejayaan bersama JDT sekali gus menebus kembali kekalahanya bersama bekas pasukan, Perak FC yang juga pernah bertemu dengan Ulsan Hyundai.

"Saya masih tidak boleh lupa dengan kekalahan sewaktu bermain dengan bekas pasukan (Perak FC), sangat berpuas hati kerana dapat balas dendam.

"Ini merupakan kemenangan yang amat penting, kami mencipta sejarah di laman sendiri, mendapatkan tiga mata itu merupakan pencapaian yang sangat baik," katanya.

Tambahnya lagi, dia dan pasukan akan berusaha untuk meneruskan momentum kemenangan ini seterusnya melakar kejayaan di Liga ACL.

Ditanya mengenai sasaran perlawanan seterusnya, Shahrul memberi jaminan bahawa dia dan pasukan akan memberikan yang terbaik dan terus mencipta sejarah baharu bersama JDT.

"Saya tak boleh beri jaminan berapa banyak gol yang akan diberi tetapi kami akan memberikan yang terbaik dan memanfaatkan kelebihan bermain di tempat sendiri.

"Sasaran peribadi saya adalah untuk terus mencipta sejarah dengan JDT dan paling penting beri 100 peratus di dalam padang serta bermain mati-matian untuk pasukan," ujarnya.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram