
PENGELUARAN khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 mula diterima seawal petang Isnin disambut baik mereka yang memerlukan.
Pelbagai perancangan sudah dibuat untuk mengurangkan sedikit beban tanggungan dengan wang yang diperoleh tersebut.
Namun, seorang pengguna Facebook bernama Amran X Aminudin memilih untuk memberikan kesemua wang KWSP berjumlah RM10,000 kepada ibunya.
Menurut Amran, ibunya berasa sedih dan bertanya mengapa wang KWSP itu dikeluarkan namun kata lelaki itu, dia sendiri tidak pasti sama ada dia atau ibunya yang akan pergi dahulu.
"Saya tahu mama sudah tua dan banyak sakit. Dari ubat-ubatan mama pun saya tahu yang mama sedang menahan sakit.
"Saya takut saya tidak dapat bahagiakan mama. Sebab itu saya rasa masih tidak puas berbakti untuk mama," katanya.
Menurut lelaki itu, dia turut memberitahu ibunya yang dia masih boleh bekerja dan duit KWSP itu masih boleh dikumpul.
Baginya, duit RM10,000 yang diberikan itu sangat kecil nilainya berbanding pengorbanan ibunya yang melahirkan dan mendidiknya sehingga dia boleh mencari duit sendiri.
Menerusi ruangan komen, ramai yang menyatakan rasa terharu dengan pengorbanan lelaki itu dan menganggap apa yang dilakukannya sebagai sesuatu yang sangat mengharukan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram