Siap setahun lalu, bumbung terminal bas lapangan terbang di Bangkok runtuh akibat hujan lebat


  • Benua
  • Selasa, 19 Apr 2022

Bumbung terminal bas yang baru dibina di lapangan terbang Don Mueang di utara Bangkok runtuh dalam hujan lebat pada hari Isnin. — Agensi

BUMBUNG terminal bas baharu di Lapangan Terbang Don Mueang, Bangkok, Thailand runtuh ekoran daripada kesan hujan lebat melanda beberapa bahagian di bandar itu pada petang Isnin.

Gambar di media sosial menunjukkan bumbung dan dinding struktur yang baru dibina itu runtuh disebabkan air hujan yang berat tidak lagi dapat ditampung.

Meskipun insiden itu disifatkan bahaya namun tiada sesiapa yang cedera kerana bangunan itu belum dibuka untuk digunakan oleh orang ramai.

Pembinaan itu didirikan berhampiran Terminal 1 Lapangan Terbang Don Mueang untuk membuat dewan perkhidmatan khusus bagi kumpulan pelancong.

Menteri Pengangkutan Thailand, Saksayam Chidchob berkata, beliau mengarahkan Airports of Thailand Plc supaya segera menyiasat punca keruntuhan itu.

Untuk rekod, bangunan itu telah siap kira-kira setahun yang lalu tetapi belum dibuka kepada orang awam kerana kesan Covid-19.

Hujan lebat dan angin kencang melanda Bangkok pada petang Isnin telah mengakibatkan banyak kerosakan berlaku dan Pentadbiran Metropolitan Bangkok berkata, daerah Nong Chok dilanda paling teruk.

Jabatan Meteorologi sebelum ini memberi amaran tentang ribut musim panas akibat sistem tekanan tinggi di kawasan utara, timur laut, timur dan tengah, termasuk Greater Bangkok.

Orang ramai dinasihatkan untuk tinggal di dalam dan jika perlu keluar diminta untuk mengelak dari pokok besar kerana angin kencang berkemungkinan akan berlaku. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram