SEKURANG-KURANGNYA 15 orang disyaki terperangkap dalam runtuhan bangunan pasar raya Alfamart di Gambut, Kalimantan Selatan, Indonesia kira-kira pukul 5.15 petang Isnin, sejam sebelum masuknya waktu berbuka puasa.
Timbalan Ketua Polis Banjar, Mohammad Fihim berkata, jumlah mangsa yang terperangkap itu diketahui berdasarkan keterangan saksi yang berada di lokasi kejadian.
"Ketika kejadian runtuhan itu, terdapat enam pekerja Alfamart yang sedang bertugas dan selebihnya sembilan orang adalah pelanggan yang sedang membeli-belah," katanya.
Sehingga Isnin malam, kerja-kerja mengeluarkan mangsa yang masih terperangkap sedang giat dijalankan dengan kerjasama agensi keselamatan berkaitan.
Menurut Fihim, sebanyak tiga individu telah berjaya dikeluarkan dari runtuhan dan mengalami kecederaan ringan.
"Ada tiga mangsa yang sudah dibawa keluar dan kesemua mereka sedang dirawat serta berada dalam keadaan stabil," katanya.
Tambah Fihim, kerja-kerja menyelamat mengambil sedikit masa kerana peralatan khas diperlukan untuk mengeluarkan mangsa yang terperangkap dalam runtuhan bangunan.
Runtuhan pasar raya di Jalan Ahmad Yani itu juga menyebabkan berlakunya kesesakan jalan raya sepanjang 14 kilometer disebabkan kehadiran orang ramai yang mahu menyaksikan insiden tersebut. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram