Kos umrah 10 hari terakhir Ramadan cecah RM20,000


  • Benua
  • Selasa, 19 Apr 2022

Sebahagian jemaah umrah mengikuti latihan di Al Mahmudah Manasik Haji Training Centre (AMTC) Setu, Tangerang Selatan, Banten Indonesia. — Agensi

KOS umrah pada bulan Ramadan mengalami kenaikan harga yang ketara berbanding bulan-bulan sebelumnya. Rupa-rupanya perkara itu memang menjadi trend setiap tahun, yang mana kenaikan harga berkenaan sering berlaku semasa bulan Ramadan.

"Paling mahal dalam 10 hari terakhir puasa manakala paling murah kira-kira Rp 33 juta (RM9,780.31).

"Bagi hotel 3 dan 2 bintang, kosnya hampir Rp 35 juta (RM10,373.06). Itu paling murah sebab tempoh tersebut mendapat permintaan tinggi," kata Pengerusi Badan Eksekutif Pusat Ikatan Muslimin Penyelenggara Haji dan Umrah Republik Indonesia (DPP AMPHURI), Firman M Nur kepada CNBC Indonesia pada Isnin.

Meskipun demikian, untuk mengikuti umrah ketika ini agak mustahil kerana ketika artikel ini diterbitkan, kita sudah memasuki hari ke-17 Ramadan. Urusan pentadbiran juga akan mengambil masa yang lebih lama.

Bagaimanapun, kos umrah selepas Ramadan, menurut Firman, adalah jauh lebih murah.

"Dalam bulan Syawal, harga mula turun dan masih ada peluang menunaikan umrah kerana keberangkatan dibenarkan sehingga akhir bulan Syawal.

"Ini bermakna hujung bulan Jun masih boleh laksanakan umrah manakala pada bulan Julai, jemaah haji sudah pun berangkat ke Tanah Suci. Jadi sehingga Jun ini masih boleh pergi umrah," katanya.

Beberapa agensi pelancongan dan umrah mendedahkan bahawa harga pakej umrah pada bulan Ramadan biasanya lebih tinggi.

"Kalau dulu dalam lingkungan Rp 30 juta (RM8,891.19) ke bawah, namun kini sudah mencecah Rp 60 juta (RM17,782.39).

Sebagai contoh, umrohmqtravel menawarkan pakej Lailatur Qadar Madinah pada 14 April hingga 1 Mei 2022 dengan pakej kemudahan 5 bintang berharga Rp 66 juta (RM19,560.63)

Pada pertengahan Ramadan antara 9 hingga 20 April 2022, harganya Rp 51.5 juta (RM15,263.22) untuk pakej double, Rp 48.5 juta (RM14,374.10) (pakej triple) dan Rp 47.5 juta (RM14,077.72) (pakej quad).

Sedangkan untuk bulan Syawal harganya lebih rendah iaitu kira-kira Rp 38 juta (RM11,262.18) pada pertengahan 16 hingga 24 Mei 2022 dan Rp 34.5 juta (RM10,224.87) bagi tempoh 20 hingga 30 Mei 2022. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram