Penyokong kutip dana tampung gaji tertunggak demi elak lesen Perak FC ditarik


  • Podium
  • Isnin, 18 Apr 2022

Penyokong Perak FC melancarkan inisiatif sendiri bagi membantu membayar tunggakan gaji para pemain. — Perak FC

TUNGGAKAN gaji yang melanda Perak FC terus masih belum menemui jalan penyelesaian selepas rundingan pengambilalihan kelab itu yang sepatutnya dijadualkan minggu lalu tidak berlaku.

Pada 15 April lalu, Malaysian Football League (MFL) melaksanakan pemotongan enam mata kepada kelab itu, selepas tiga mata ditolak pada 1 April.

Jika tunggakan gaji masih tidak dapat diselesaikan menjelang 21 April ini, MFL akan bermesyuarat untuk menentukan nasib Perak FC dengan risiko digugurkan daripada liga menjadi salah satu kemungkinan.

Sehubungan itu, demi masa depan kelab kesayangan mereka, para penyokong Perak FC melakukan inisiatif sendiri dengan melancarkan kutipan derma bagi membantu para pemain.

Salah seorang wakil penyokong Perak FC memberitahu Majoriti bahawa kutipan wang tersebut akan digunakan untuk melangsaikan tunggakan gaji pemain.

"Wang yang kami kumpul dalam akaun bank adalah untuk membayar gaji pemain kerana kami telah berbincang dengan pihak MFL, dan jika disertakan dengan bukti, mereka tidak akan menarik lesen bertanding Perak FC.

"Tetapi sebaliknya jika kita tidak melakukan apa-apa menjelang 21 April ini, lesen Perak FC kemungkinan akan ditarik," katanya.

Katanya, sumbangan yang diterima daripada penyokong sangat memberangsangkan dengan ramai yang menderma melebihi jumlah yang dijangka.

Jelasnya, bukan sahaja dalam kalangan penyokong Perak FC, terdapat juga wakil rakyat yang tampil memberi sumbangan bagi menyelamatkan kelab itu.

"Kita sebagai penyokong akan usahakan segala yang termampu dan Alhamdulillah, walaupun kita hanya minta RM1 atau RM2 sahaja, ramai yang menyumbang lebih daripada itu dengan ada yang menyumbang sehingga RM100.

"Pada perlawanan semalam (Sabtu) pun kita ada buat kutipan di stadium dan wang itu diberikan kepada pemain dan staf untuk membantu perbelanjaan mereka," katanya.

Menurutnya, orang ramai yang berhasrat untuk memberi sumbangan boleh melakukan sedemikian menerusi akaun CIMB 8602530260 (TBG MOBS). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram