Tewas di tangan skuad Penyu, penyokong Sarawak gesa Cheng Hoe ambil alih


  • Podium
  • Isnin, 18 Apr 2022

Aksi pemain dalam perlawanan Sarawak United FC menentang Terengganu FC pada malam Ahad. — FB Terengganu FC

KEMENANGAN sulung Terengganu FC dalam Liga Super musim ini ternyata mengecewakan para penyokong Sarawak United FC.

Dalam perlawanan di Stadium Negeri, Kuching, Sarawak pada malam Ahad, skuad Penyu itu berjaya menewaskan tuan rumah dengan kemenangan 2-0.

Penyerang import, Kpah Sherman mengejutkan tuan rumah seawal minit kelapan apabila bijak mengambil kesempatan terhadap kelalaian barisan pertahanan tuan rumah, yang gagal menghidu pergerakannya sebelum tenang menyumbat masuk gol pendahuluan Terengganu.

Skuad kendalian B Sathianathan itu gagal menembusi benteng Terengganu, manakala tuan rumah terus dirundung malang apabila pemain gantian, Muhammad Zuasyraf Zulkiefle, menyimpulkan kemenangan buat pasukan Pantai Timur menerusi gol kedua pada minit ketiga masa kecederaan separuh masa kedua.

Meninjau ruangan komen, rata-rata penyokong Sarawak menggesa supaya jurulatih pasukan itu digantikan dengan individu yang lebih layak dan antara nama yang disebut-sebut adalah Tan Cheng Hoe.

Muhd Fakhri Radhi berpendapat, Sathianathan bukanlah jurulatih yang paling layak memimpin pasukan itu.

"Expired dah taktik yang dia guna tu. Bagus lagi ganti dengan Tan Cheng Hoe.

"Dan lagi satu pemain import tu kalau boleh nak ambil jangan tengok pada rekod lampau dia dengan pasukan yang dia dah join (sertai). Bab tu belum pasti dapat nak jamin apa-apaun kualiti dia. Bagus lagi ambil pemain dari Asia sahaja," katanya.

template (22)

Komen netizen berhubung gesaan untuk menukar jurulatih Sarawak United pada perlawanan malam Ahad.

Stanley Ipoh yang berpendapat sama menulis: "Jurulatih tu kena tukar dengan Tan Cheng Hoe, baru Sarawak boleh menang,"

Sementara itu, Senja Nan Merah berkata, Sarawak perlu meneliti serta membuat analisis mengenai punca-punca kekalahan yang terus berlaku pada pasukan itu.

Jika perlu, katanya, rombakan kejurulatihan dan pemain perlu dilakukan untuk memastikan pasukan itu dapat memperbaiki kelemahan dan kekurangan.

"Jika tidak, maka sukarlah Sarawak United nak menang dan sudah pasti akan terus kalah hingga ke penghujung saingan," katanya.

template (23)

Komen netizen mengenai rombakan jurulatih Sarawak United FC.

Azlan Afieqah Median menambah, pemain tidak boleh disalahkan sebaliknya jurulatih yang perlu digugurkan.

"Cari jurulatih local (tempatan) orang dekat Sarawak. Macam Jalil Ramli atau bekas-bekas pemain zaman era 90an dulu," sarannya.

Alek Dwin membalas komen tersebut: "Azlan Afieqah Median betul. Tengok macam Melaka, buang jurulatih. Terus semangat diaorang game.. Bercakap pun tiada guna. Balik Liga Premier lah tahun depan." — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram