Tak boleh jaga kualiti, kebersihan makanan, lebih baik jangan berniaga


Kualiti makanan di bazar Ramadan sering menjadi pertikaian orang ramai.

KECOH apabila tersebar mengenai insiden penemuan gumpalan rambut dalam kuih tepung pelita yang didakwa dibeli di sebuah bazar Ramadan di Ipoh, Perak pada Selasa.

Seorang pengguna Facebook, Nur Azira berkongsi gambar penemuan gumpalan rambut itu di media sosial.

Susulan penularan gambar berkenaan, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak sedang menyiasat kes tersebut bagi mengenal pasti pelakunya agar tidak berulang serta memudaratkan kesihatan orang ramai.

Foto penemuan segumpal rambut dalam kuih tepung pelita yang dibeli di sebuah bazar Ramadan pada Selasa. — Facebook

Kes berkenaan bukan yang pertama berlaku pada tahun ini membabitkan juadah berbuka puasa yang dibeli di bazar Ramadan.

Pada 6 April lalu, dua beradik berusia sembilan dan tujuh tahun mengalami cirit-birit dan muntah dipercayai selepas makan puding buih dibeli ibunya di bazar Ramadan di Kuala Terengganu, Terengganu.

Berikutan kejadian itu, kanak-kanak tersebut dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan lanjut.

Menjengah di media sosial, seorang pengguna Facebook, Kay Nik melontarkan kekecewaan terhadap peniaga bazar Ramadan berikutan kedua-dua kes yang berlaku itu.

"Kepada peniaga-peniaga yang menyediakan dan menjual juadah untuk berbuka puasa di bazar Ramadan atau tepi jalan, pastikan kebersihan makanan anda dijaga dengan bersih semasa proses pembuatannya.

"Kalau sehelai rambut itu, mungkin boleh lagi dimaafkan tetapi ini segumpal.

"Tolong, tolong dan tolong pastikan makanan yang nak dijual kepada orang ramai itu bebas daripada benda-benda yang tak sepatutnya.

"Kasihanlah sedikit pada pembeli yang berpuasa seperti kami ini. Sudahlah kuih-muih dekat bazar Ramadan sekarang ini mahal-mahal.

"Berniagalah dengan penuh keikhlasan dan buatlah makanan itu dengan penuh kasih sayang. Barulah rezeki jualan kita itu berkat.

"Apatah lagi di bulan puasa yang penuh barakah seperti sekarang ini.

"Kalau tak boleh nak jaga kualiti dan kebersihan makanan yang dijual, lebih baik tak payah berniaga. Lagi elok rasanya," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram