Saya akan terus lepak di Malaysia, layan bazar Ramadan — Chong Wei


  • Podium
  • Jumaat, 08 Apr 2022

Chong Wei tidak mahu terburu-buru melibatkan diri dalam bidang kejurulatihan.

LEGENDA badminton negara, Datuk Lee Chong Wei tidak mahu terburu-buru menjadi seorang jurulatih walaupun ada menerima beberapa tawaran sebelum ini.

Bekas pemain nombor satu dunia itu berkata, walaupun cintanya terhadap sukan badminton masih membara, namun beliau belum mempunyai perancangan untuk berbuat demikian dalam masa terdekat.

"Memang benar saya dapat tawaran, sudah pasti saya masih cinta terhadap sukan badminton, tetapi pada masa sekarang saya tidak berniat untuk menjadi jurulatih. Saya akan terus lepak di Malaysia, layan bazar Ramadan dan tunggu jemputan open house raya," katanya dalam satu hantaran Facebook pada Khamis.

Sebelum ini, bekas jurulatih Chong Wei, Datuk Misbun Sidek berpendapat bahawa Chong Wei mempunyai potensi untuk menjadi seorang jurulatih yang disegani.

Misbun juga menyarankan agar bekas anak buahnya itu berkelana ke luar negara terlebih sebagai langkah pertama dalam bidang kejurulatihan.

Menurut Misbun, Chong Wei, 40, boleh memulakan kariernya dalam bidang kejurulatihan sebagai seorang penasihat terlebih dahulu bagi mendapatkan pengalaman yang diperlukan.

"Dia boleh menjadi seseorang yang menganalisis permainan dan membina portfolio di mana dia harus bertanggungjawab dari segi teknikal, taktikal, mental dan fizikal, ia memerlukan banyak pengalaman.

"Buat masa ini, saya melihat dia lebih sesuai mengambil peranan sebagai seorang penasihat atau penganalisis. Dia seorang pemain yang hebat dan mempunyai analisis yang baik tentang permainan,” kata Misbun.

Sejak aktif secara profesional pada tahun 2000, Chong Wei pernah memenangi beberapa kejohanan besar di peringkat antarabangsa seperti All England, Kejohanan Badminton Asia dan juga pernah meraih tempat kedua di Olimpik dan Kejohanan Dunia.

Beliau juga pernah menduduki ranking pertama dunia selama 349 minggu, termasuk 199 minggu berturut-turut dari 21 Ogos 2008 hingga 14 Jun 2012.

Pada 13 Jun 2019, Chong Wei mengumumkan persaraannya selepas bergelut dengan penyakit barah hidung. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram