Peniaga bazar Ramadan di Kuantan buat hal, jual tepung pelita berlendir masam


  • Massa
  • Selasa, 12 Apr 2022

Kuih tepung pelita itu dibeli dengan harga RM2.50 sebungkus dan kali pertama dibeli di bazar berkenaan. — Sinar Harian

BASI, semuanya berbau dan berlendir. Itu situasi yang dihadapi oleh seorang suri rumah apabila dua bungkus kuih tepung pelita yang dibeli oleh anaknya di sebuah bazar Ramadan di Kuantan, Pahang pada Ahad.

Norulhuda Md Daud, 39, berkata, kuih tersebut dibeli untuk anak bongsunya berusia dua tahun yang amat menggemari juadah tersebut.

"Nasib baik saya rasa dahulu ketika berbuka sebelum sempat dimakan oleh anak.

"Terkejut bila rasa semua kuih pelita yang dibeli sudah masam dan berlendir," katanya pada Selasa.

Menurutnya, kuih tersebut dibeli dengan harga RM2.50 sebungkus dan ia kali pertama dibeli di bazar berkenaan.

"Memang kecewa sangat bila ada peniaga yang kurang bertanggungjawab sanggup menjual kuih yang sudah basi untuk orang ramai," kata ibu kepada lima cahaya mata itu.

Norulhuda berkata, ia akan menjadi pengalaman buat keluarganya untuk lebih berhati-hati selepas ini. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram