Selepas tepung pelita basi di Kuantan, kuih sama ada gumpalan rambut pula di Ipoh


  • Primer
  • Rabu, 13 Apr 2022

Tular di media sosial tentang seorang pembeli menemui gumpalan rambut di dalam kuih tepung pelita. — Facebook

JABATAN Kesihatan Negeri (JKN) Perak sedang menyiasat kes penemuan gumpalan rambut di dalam kuih tepung pelita yang didakwa dibeli di sebuah bazar Ramadan di Ipoh, Perak seperti yang tular dalam media sosial semalam (Selasa).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi negeri Mohd Akmal Kamarudin berkata, kes sedang disiasat bagi mengenal pasti pelaku agar ia tidak berulang dan memudaratkan kesihatan orang ramai.

"Apa sahaja kes yang berkaitan, kita minta laporkan kepada Bahagian Keselamatan Makanan JKN untuk memudahkan kita mengumpul maklumat dan melengkapkan siasatan,” katanya.

Beliau mengulas gambar viral dengan kapsyen antara lain menyebut ‘Sehelai rambut boleh dimaafkan, tetapi ini segumpal rambut. Peniaga yang menyediakan juadah perlu memastikan kebersihan’ sambil dilampirkan gambar kuih tepung pelita dan gumpalan rambut tersebut.

Orang ramai boleh menyalurkan aduan kepada 05-245 6000 atau laman Facebook rasmi JKN untuk sebarang maklumat lanjut.

Pada Rabu lepas, dua beradik berusia sembilan dan tujuh tahun mengalami cirit-birit dan muntah dipercayai selepas makan puding buih dibeli ibunya di bazar Ramadan di Kuala Terengganu.

Berikutan kejadian itu, kanak-kanak tersebut dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan kedua-duanya yang masih menerima rawatan, dilaporkan stabil. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram