Bakal hilang enam mata, penyokong Perak FC mahu gaji pengurusan pula dipotong


  • Podium
  • Khamis, 14 Apr 2022

Hukuman pemotongan enam mata ke atas pasukan Perak FC bakal dikenakan oleh MFL. — Facebook

SELEPAS dipotong tiga mata pada 1 April lalu, Perak FC kini berdepan pemotongan enam mata lagi setelah gagal melunaskan tunggakan gaji pemain mengikut tarikh yang ditetapkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam berkata, hukuman itu akan dilaksanakan serta-merta mulai 15 April jika Perak FC masih gagal melunaskan gaji pemain dan pegawainya.

“Seperti yang telah dimaklumkan sebelum ini, pemotongan enam mata terhadap Perak FC akan tetap dilaksanakan.

“Ini berikutan kegagalan pemilik Perak FC, Impact Media and Communication (IMC) melunaskan tunggakan gaji pemain dan pegawai mengikut tarikh yang telah ditetapkan MFL.

“Untuk makluman juga, pemotongan berkenaan akan tetap berlaku walaupun Perak FC telah dimiliki oleh pemilik baharu,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.

Rentetan itu, ada penyokong Perak yang merasakan terdapat keperluan agar pihak pengurusan kelab turut perlu merasa dipotong gaji sebagaimana yang terjadi kepada pemain.

"Kenapa tak potong gaji pengurusan kelab untuk bayar gaji pemain yang tertunggak tu?

"Dahlah gaji tak dapat, mata kena potong lagi pula. Moral down laa player Perak lagi," kata Andy Dufresne di ruangan komen pada Khamis.

WhatsApp Image 2022-04-14 at 9.46.13 AM

perak

Tangkap layar komen penyokong terhadap pemotongan mata Perak FC.

Perak FC kini mempunyai baki tujuh hari bagi melunaskan tunggakan gaji itu atau perkara berkenaan akan dibawa ke peringkat Ahli Lembaga Pengarah (BOD) MFL bagi tujuan penyingkiran.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Muhammad Yunus Zakariah berkata, pihaknya tidak dapat berbuat apa-apa terhadap hukuman pemotongan enam mata yang bakal dikenakan MFL.

“MFL tetap akan memotong mata Perak FC kerana mereka masih belum terima dokumen proof of funds daripada kami.

“Kami telah kemukakan perkara ini kepada pihak sana (pemilik baharu Perak FC) dan apabila ia tidak dapat dilaksanakan, kena terimalah pemotongan mata ini,” ujarnya.

Seorang lagi penyokong, Fadzir Abdol pula merasakan skuad Seladang itu perlu dibubarkan terus jika masih berdepan masalah pembayaran tunggakan gaji.

"Nanti jika (kewangan) dah okay, rombak kembali pasukan...asyik potong mata saja, apa yang tinggal," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram