'Karen Sogo' buat kecoh, ganggu tugas polis bantuan


  • Tular
  • Khamis, 24 Mac 2022

TANGKAP layar rakaman video menunjukkan seorang wanita tidak memakai pelitup muka membuat kecoh di sebuah pusat beli-belah di ibu negara. — TikTok

TULAR di media sosial satu video rakaman video menunjukkan seorang wanita yang tidak memakai pelitup muka membuat kecoh dipercayai dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah di ibu negara.

Menerusi rakaman tular tersebut, wanita yang memakai gaun labuh berwarna hijau itu dilihat menuding jari sambil memarahi seorang anggota keselamatan dan polis bantuan di kawasan lobi premis berkenaan.

Kedengaran wanita terbabit bertanyakan sesuatu dalam bahasa Inggeris dengan nada suara tinggi kepada anggota keselamatan tersebut.

"Are you working for the US? Which country are your working with? (Adakah anda bekerja dengan (kerajaan) Amerika Syarikat. Anda berkhidmat dengan negara mana?)," soalnya.

RAKAMAN video tular menunjukkan wanita tersebut naik angin selepas dihalang masuk ke premis beli-belah. — TikTok

Dia turut cuba memasuki kawasan premis yang ditutup dengan penghadang boleh laras namun dihalang polis bantuan bertugas. Difahamkan kejadian itu berlaku di Sogo.

Naik angin kerana tidak mendapat layanan seperti yang dikehendaki, wanita itu terus meninggikan suara dan menjerit kepada anggota keselamatan itu.

"I'm asking which country are you now? You belong to which country? (Saya tanya anda berada di negara mana? Anda berasal dari negara mana?)," tanya wanita itu lagi.

Wanita itu turut menyebut nama sebuah negara bermula dengan huruf B namun tidak dapat dipastikan sebutannya kerana kurang jelas.

Video terbabit dikongsikan di TikTok oleh @ril.qeem sebelum tular di WhatsApp dan dikongsikan semula di Facebook.

Kekecohan itu dipercayai timbul gara-gara wanita berkenaan dilarang memasuki premis beli-belah terbabit ekoran tidak mengenakan pelitup muka.

Insiden kekecohan sedemikian pernah terjadi pada Oktober tahun lalu selepas seorang minah saleh digelar 'Karen' tampil di khalayak ramai tanpa mengenakan pelitup muka di pusat beli-belah Kuala Lumpur City Centre (KLCC) dan Bangsar Shopping Centre (BSC).

Sementara itu, Majoriti sedang menunggu maklum balas daripada pihak polis berhubung kejadian itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram