INDUSTRI hiburan Thailand sekali lagi diisi dengan khabar duka kematian aktor kacak, Beam Papangkorn pada Rabu.
Punca kematian masih belum diketahui media tempatan mendakwa Papangkorn meninggal dunia ketika tidur.
Pelakon berusia 25 tahun itu dipercayai ditemui di bilik tidur oleh ahli keluarga yang cuba untuk mengejutkannya tetapi gagal.
Dia kemudian dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan, namun tidak berjaya diselamatkan.
Pemergian Papangkorn merupakan berita yang mengejutkan buat industri hiburan negara jiran itu selepas kematian kontroversi aktres, Nida “Tangmo” Patcharaveerapong.
Peminat Papangkorn turut berduka cita dan bersedih atas kematian pelakon yang digelar sebagai seorang yang berjiwa baik.
PEMINAT turut membanjiri ucapan takziah di Instagram milik Papangkorn.
Seorang peminat menulis bahawa kematian Papangkorn merupakan berita yang menyedihkan kerana industri itu kehilangan seorang bakat besar pada usia yang sangat muda.
Keluarga dan rakan Papangkorn juga masih bersedih atas kematian pelakon itu.
Orang ramai akan mengetahui lebih lanjut mengenai kematian pelakon itu sebaik sahaja keluarga beliau memutuskan untuk mendedahkannya kepada media.
Papangkorn atau nama sebenar Paphangkon Rikchelimphot dilahirkan pada 31 Ogos 1996 dan dibesarkan di Thailand.
Mesra dengan nama panggilan, Beam, pelakon itu pernah berlakon dalam beberapa siri televisyen seperti Project S: Spike (2017) dan Blacklist (2018).
Kemunculan terakhir beliau adalah menerusi siri Netflix,The Stranded pada 2019.— Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram