COFC perjelas insiden gaduh, pukul gadis baling tong sampah


  • Massa
  • Khamis, 24 Mac 2022

TANGKAP layar video menunjukkan pergaduhan antara seorang gadis dengan penyokong skuad COFC. — Twitter

SKUAD bola sepak amatur, COFC tampil membuat permohonan maaf atas insiden pergaduhan yang berlaku antara seorang gadis dengan penyokong pasukan itu.

COFC menerusi satu kenyataan di Facebook rasmi berkata, kejadian berlaku semasa perlawanan akhir Liga Puncak Alam di antara COFC dan BP2 (Bandar Putera 2) pada 22 Mac lalu.

"Pihak COFC ingin membuat permohonan maaf di atas apa yang berlaku semasa perlawanan akhir Liga Puncak Alam yang dicemari pergaduhan di antara kedua-dua penyokong pasukan yang bertanding," katanya pada Khamis.

COFC berkata, pihak kami bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak berkuasa untuk memberi apa juga keterangan bagi membantu atau menyelesaikan isu ini.

Untuk rekod, COFC adalah pasukan amatur dan juga semi veteran (purata umur 35 tahun ke atas) yang berpangkalan di Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor dengan home field di Tanamera, Sungai Buloh.

Majoriti terdahulu melaporkan, seorang gadis berpakaian hoodie merah jambu dipukul sekumpulan lelaki dipercayai penyokong COFC.

Ia berikutan tindakannya membaling tong sampah dipercayai kerana tidak tahan dengan cemuhan yang dilontarkan oleh individu terbabit.

Rakaman video itu tular di Twitter selepas dikongsikan seorang individu menggunakan nama @RobotDuit.

Satu forwarded message di aplikasi WhatsApp turut dikongsikan RobotDuit bagi menjelaskan situasi pergaduhan itu.

"Dalam kejadian malam tadi (22 Mac), seorang perempuan telah dipukul beramai-ramai kerana membaling tong sampah ke arah penyokong COFC.

"Ini adalah kerana perempuan tersebut tidak tahan dengan kata-kata kesat daripada penyokong lelaki yang tidak langsung ditujukan ke arah beliau. Malam tadi," tulis mesej itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram