PEMILIK kelab Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim baru-baru ini menyatakan sudi untuk melepaskan bintang muda pasukan itu, Arif Aiman Hanapi bermain di liga luar negara dengan syarat tertentu.
Tunku Ismail bagaimanapun mahu Arif Aiman dibimbing oleh jurulatih serta mendapat sistem yang boleh meningkatkan permainannya.
Tunku Ismail turut menyatakan Arif Aiman tidak perlu ke luar negara untuk mengembangkan potensinya.
Tidak cukup dengan komen tersebut, Tunku Ismail juga membidas prestasi dua pemain muda kebangsaan, Luqman Hakim dan Hadi Fayyadh yang tidak mempamerkan aksi terbaik sewaktu beraksi di kelab luar negara ketika ini.
Menjawab komen itu, bekas pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Lim Teong Kim mahu semua pihak memberikan masa kepada Luqman Hakim kerana pemain itu baru dua tahun bermain di kelab Belgium, KV Kortrijk.
Menjengah ruangan komen di media sosial, seorang pengguna Facebook, Nazli Ibrahim Beduk Canang berkongsi pandangannya berhubung minit permainan Luqman di kelab tersebut.
"Cakap pasal pentingnya minit permainan, kita kena jujur.
"Rata-rata netizen setuju minit permainan sangat penting untuk tajamkan skill permainan seseorang 'player', lebih-lebih lagi player baru nak 'up'.
"Di Liga Malaysia (Liga-M), bila ada player yang dianggap berpotensi untuk maju tapi tak dapat cukup minit, ramai yang marah, kecam.
"Tapi kenapa ada sesetengah kita guna kayu pengukur yang berbeza untuk Luqman? Dia juga hanya dapat minit permainan yang sangat-sangat sedikit.
"Dia bukan baru sebulan dua tapi dah dekat dua tahun di sana, masih sukar dapat peluang bermain, hatta dengan team simpanan sekali pun.
"Bukan tak sokong Luqman atau mana-mana player tempatan menimba pengalaman di kelab luar negara, tapi rasanya biarlah pada 'level' yang realistik sedikit, liga Thailand atau liga Jepun misalnya.
"Itu pun liga Jepun susah nak tembus kesebelasan utama.
"Kita terlalu obses bila ada sahaja 'player' kita 'training' dengan kelab luar negara. Akhirnya tanpa kita sedar, sokongan kitalah yang membawa rebah kepada Luqman.
"Mentaliti netizen juga kena ubah, jangan kalau dia balik Malaysia saja, kita anggap dia 'loser'," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram