PERSEKUTUAN Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) baru-baru ini telah memberi kebenaran untuk menggunakan teknologi video bantuan pengadil (VAR) dalam saingan Liga Premier Bangladesh.
Perkara itu ternyata mendapat perhatian peminat-peminat bola sepak tempatan yang sudah sekian lama mahukan teknologi itu diguna pakai dalam Liga Malaysia (Liga M).
Ia berikutan beberapa keputusan kontroversi pengadil-pengadil Liga M yang menjejaskan beberapa perlawanan, terutama perlawanan berprofil tinggi.
Perkara itu juga pernah disuarakan pemilik Johor Darul Takzim, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mengakui kualiti pengadilan Liga M adalah teruk dan sering berlaku saban tahun.
Netizen di media sosial menggesa pihak Malaysian Football League (MFL) dan juga Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) supaya mengikuti jejak Bangladesh dalam mewujudkan VAR pada saingan Liga M bagi meningkatkan kualiti pengadilan.
Seorang pengguna Facebook, Loba berkata, MFL harus malu apabila Bangladesh sudah memulakan inisiatif untuk menggunakan VAR dalam saingan liganya.
"Hello Malaysian Football League... tengah nak set badan siasatan lagikah? Sudah-sudahlah nak perbodohkan rakyat Malaysia.
"Keji sangat rakyat Malaysia tengok lakonan sarkas hangpa tu... buat malu nama negara saja... Bangladesh pun boleh.
"Hangpa takut apa? Takut pengadil tak boleh buta dan dengar cakapkah?" katanya pada Isnin.
Hantaran Facebook Loba pada Isnin.
Sebelum ini pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman atau lebih dikenali sebagai Zamsaham pernah menyuarakan hasratnya untuk membantu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mewujudkan VAR dalam saingan Liga M.
Menurutnya, tahap bola sepak Malaysia dan keseluruhan proses penswastaan akan lebih berjaya sekiranya mutu pengadilan dalam liga tempatan berada pada tahap terbaik. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram