'Kebanyakan berita viral gambarkan sifat kurang cerdik masyarakat'


CEO Sinar Harian itu mengajak semua pengamal media menghasilkan kandungan berita yang lebih bertanggungjawab dan berkualiti untuk disajikan kepada masyarakat. — Sinar Harian

SETIAP hari, pembaca akan disajikan dengan pelbagai kandungan berita samada berunsur politik, sukan, semasa dan hiburan.

Terkini, berita berunsurkan tular ataupun viral menjadi pilihan media untuk disiarkan kepada masyarakat.

Ketua Pegawai Eksekutif Sinar Harian, Farah Hussamuddin berkata, kebanyakan kandungan berita yang dibuat oleh majoriti syarikat media menggambarkan sifat kurang cerdik masyarakat sehingga menjadikannya sebagai tajuk utama atau berita nasional.

netzkorner CEO Sinar harian

TANGKAP layar hantaran Farah Hussamuddin

"Terlalu banyak jenama media arus perdana menggunakan "kandungan viral" sebagai berita kebelakangan ini.

"Apa yang lebih teruk ialah kebanyakan kandungan viral menggambarkan kebodohan masyarakat. Ini adalah jenis berita sebagai tajuk utama atau berita nasional.

"Beginikah cara kita mahu membentuk minda rakyat kita," katanya menerusi laman Linkedin peribadinya.

Menurutnya, semua memahami faktor tekanan dan umpan klik (clickbait) untuk menaikkan trafik membuatkan perkara sebegitu berlaku, namun apa yang dihasilkan oleh media itu mempengaruhi mentaliti masyarakat di negara ini.

Baginya, seorang pengamal media perlulah menghasilkan kandungan berita yang lebih bertanggungjawab dan berkualiti untuk disajikan kepada masyarakat.

"Kita semua memahami tekanan untuk clickbait dan trafik. Namun begitu, ingatlah, apa yang kita tulis, apa yang kita hasilkan, apa yang kita terbitkan, mempengaruhi mentaliti masyarakat kita.

"Jadi, mari menjadi pengamal media yang bertanggungjawab dengan menghasilkan kandungan yang lebih bertanggungjawab dan berkualiti.

"Tanya soalan mudah kepada diri sendiri, 'adakah saya mahu anak saya membaca ini?,' Jika jawapannya tidak, maka jangan klik 'terbitkan'," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram