TEKANAN untuk memenangi Piala Sultan Haji Ahmad Shah adalah lebih untuk Johor Darul Ta’zim (JDT), berikutan kekalahan mereka kepada Kuala Lumpur City FC pada perlawanan akhir Piala Malaysia musim lepas, kata Ketua Jurulatih Kl City FC, Bojan Hodak.
Beliau percaya bahawa JDT akan cuba lakukan yang terbaik untuk memenangi perlawanan Piala Sumbangsih, pada Sabtu.
"Saya rasa JDT lebih berhadapan tekanan selepas perlawanan akhir Piala Malaysia, saya tahu mereka akan lakukan apa yang boleh untuk memenangi perlawanan itu.
"Jadi saya berharap yang perlawanan itu akan mempunyai pengadil yang bagus seperti pada perlawanan akhir dan kami akan berikan permainan yang baik untuk orang ramai esok,” katanya pada sidang media di Stadium Sultan Ibrahim, di Iskandar Puteri, Johor pada Jumaat.
Turut hadir pemain KL City Fc Mohd Safee Mohd Sali, Ketua Jurulatih JDT, Benjamin Mora dan ketua pasukan JDT, Mohd Farizal Marlias.
Hodak berkata, kesemua pemainnya bebas dari kecederaan dan berada dalam keadaan terbaik.
"Tidak ada sebarang kecederaan dan kesemunya berlatih sepenuhnya, hanya seorang atau dua pemain sahaja yang tidak 100 peratus cergas, jadi inilah hanya apa yang boleh saya tentukan esok,” katanya.
Sementara itu Mora berkata, JDT sudah bersedia untuk berhadapan KL City FC dan berazam untuk melakukan apa sahaja bagi memenangi perlawanan Piala Sumbangsih pada Sabtu.
"Pasukan berada dalam keadaan baik, kami mempunyai skuad penuh dan ramai pemain sudah kembali cergas... kami bersedia untuk cabaran.
"KL City FC adalah sebuah pasukan yang sukar, mereka tunjukkan yang mereka boleh melawan dan tidak mengalah dengan mudah, itu yang akan menjadi suatu cabaran paling sukar untuk kami, dan kami akan lakukan yang terbaik,” katanya.
Perlawanan Piala Sumbangsih antara juara Liga Super lapan kali JDT dan pemenang Piala Malaysia 2021 Kl City FC bagi merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah akan berlangsung Sabtu, yang juga menandakan permulaan musim 2022. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram