VIDEO tular berkaitan timbunan kontena 'rebah' akibat kesan gegaran gempa bumi di pantai barat Sumatera di Indonesia bukan berlaku di Port Klang, Selangor.
Sebaliknya difahamkan, insiden itu dipercayai berlaku di Rotterdam yang merupakan sebuah bandar di Belanda.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya tidak dapat mengesahkan kejadian tersebut dan masih tidak mendapat sebarang laporan mengenainya.
Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET) menerusi laman rasmi Facebooknya berkongsi kenyataan media tentang kejadian gempa bumi kuat berlaku di Utara Sumatra, Indonesia pada 9.39 pagi Jumaat.
Menurutnya, gempa bumi berlaku di koordinat 0.2 darjah Utara dan 100.0 darjah Timur Magnitud 6.1 manakala jaraknya 76 kilometer (km) Barat Laut dari Payakumbuh dengan kedalaman 10 km.
Tiada ancaman tsunami kepada Malaysia dan gegaran turut dirasai di bahagian Barat Semenanjung membabitkan Selangor, Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram