"KAMI suami isteri sudah cukup puas menderita dalam diam," demikian luahan seorang suami yang juga merupakan bekas jurutera menerusi status di satu video tular di media sosial Facebook sejak Khamis.
Dikongsi menerusi page Azmie Bugis - AB, video berdurasi 5 minit 34 saat itu memaparkan keadaan isteri kepada pencarum yang juga seorang bekas pegawai bank yang sedang menangis kerana terlampau risau tentang kehidupan mereka yang semakin susah.
Menulis di status, video berkenaan dikongsi atas kebenaran si suami yang juga pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
"Atas permintaan pencarum, beliau minta video ini ditularkan supaya Kerajaan melihat keadaan rakyat sekarang dan ramai yang alami situasi sama.
"Pencarum sekarang hidup kais pagi makan petang dengan mengutip kotak dan tin kosong untuk meneruskan kehidupan," kongsinya.
Dakwanya lagi, mereka suami isteri sudah cukup menderita sehingga sampai tahap hampir mengemis.
Jelasnya, tindakan kerajaan masih tidak mempertimbangkan pengeluaran RM10,000, i-Citra KWSP juga menjadikan mereka semakin buntu untuk mendapat sumber kewangan bagi memulakan hidup baharu.
"Kami suami isteri ada hampir RM400,000 dalam KWSP, ada pendidikan tinggi tetapi semua itu tidak berguna kerana hidup kami susah selepas hilang sumber pendapatan.
"Saya mohon sangat KWSP tutup akaun saya dan isteri dan pulangkan semula wang kami, supaya kami dapat mulakan hidup baharu," ujarnya.
Sementara itu, dalam ruangan komen, pemilik page tersebut turut berkongsi perkembangan terkini bahawa pencarum tersebut memberitahu bahawa keadaan isterinya semakin teruk setiap hari.
Katanya, isterinya sudah mula hilang pertimbangan hingga pada tahap perlu mendapatkan rawatan dengan pakar psikiatri.
Majoriti sedang cuba menghubungi pemilik akaun untuk mendapatkan perkembangan terkini pencarum berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram