'Kelantan FC, aku jatuh cinta sekali lagi'


KERVENS Belfort dengan aksi tersendiri selepas menjaringkan gol. — Facebook TRW Kelantan FC

KELANTAN FC tampak serius untuk memberi cabaran Liga Perdana pada musim ini sekali gus mahu melonjakkan kembali The Red Warriors ke kancah Liga Super.

Persediaan skuad anak buah Rezal Zambery Yahya itu ternyata cukup ampuh dengan prestasi yang ditunjukkan pada Piala Sabah Maju Jaya (Piala SMJ) baru-baru ini dengan menyaksikan Kelantan FC menduduki tempat kedua di belakang Kedah Darul Aman (KDA) FC.

Ini mengambil kira ketiga-tiga lawan Kelantan FC dalam kejohanan itu merupakan pasukan dari Liga Super termasuk Sabah FC dan Sarawak United.

Malah Rezal sendiri mengakui pasukannya berada pada landasan terbaik sebagai pencabar utama dalam saingan Liga Premier musim 2022 yang dijadual bermula Mac depan.

Beliau juga amat yakin dengan peningkatan corak permainan diperagakan pemainnya ketika ini yang jelas menunjukkan kemampuan serta kesediaan mereka untuk berdepan pihak lawan.

"Menyertai saingan Piala SMJ adalah satu pengalaman sangat menarik khusus kepada pemain kerana mereka dapat memperbaiki segala teknik dan taktikal yang digunakan oleh pasukan lawan.

"Pastinya untuk berada di kedudukan lebih baik, kita perlu bekerja keras untuk melakar lebih banyak kemenangan dalam semua perlawanan," katanya.

Mengambil kira prestasi semasa Kelantan FC, seorang penyokongnya yang dikenali sebagai Zuraimi Zukri dalam satu coretan di Facebook meluahkan perasaan terhadap kelab kesayangannya itu.

"Kali terakhir aku jatuh cinta dengan pasukan sendiri adalah pada era Velizar Popov," katanya merujuk kepada bekas jurulatih Kelantan yang pernah membimbing kelab itu pada 2016.

"Pada ketika itu, apapun keputusan perlawanan, aku tak peduli sebab aku suka tengok game play.

"Popov berkata 'biarkan pemain muda ini melakukan kesilapan, mereka akan belajar darinya'.

"Selepas tengok empat perlawanan pramusim, aku jatuh cinta sekali lagi.

"Kali ini dengan tenaga tempatan, Rezal Zambery Yahya.

"Ketika kelab mengumumkan mereka akan meraih slot promosi musim ini, aku tak yakin dan hanya meletakan 1 tahun lagi.

"Tapi pada hari ini, selepas empat perlawanan aku percaya dengan kemampuan Rezal dan keseluruhan pemain sederhananya.

"Kelantan akan ke Liga Super 2023," tulisnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram