Kelantan United masih banyak ‘kerja rumah’


  • Podium
  • Selasa, 22 Feb 2022

KUFC akan menetang Perak di tempat lawan pada perlawanan pembukaan Liga Premier, 5 Mac depan. — KUFC

KETUA jurulatih Kelantan United (KUFC), Syamsul Saad masih belum berpuas hati dengan corak permainan ditampilkan anak buahnya dalam beberapa perlawanan pramusim sebelum aksi sepak mula Liga Premier, Mac depan.

Beliau berkata, pelbagai aspek akan diteliti dan diperbaiki bagi mengatasi segala kelemahan pasukannya terutama dari segi serangan dan pertahanan.

"Saya rasa terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian seperti menyudahkan peluang di depan pintu gol. Jika corak permainan bagus namun kita tidak mampu menjaringkan gol ia akan memberi sedikit tekanan kepada pemain untuk mengekalkan momentum sebelum ini," katanya pada Selasa.

Pada perlawanan pembukaan Liga Premier dijadual pada 5 Mac, KUFC akan menetang Perak di tempat lawan.

Sementara itu, beliau turut melahirkan rasa gembira apabila KUFC berjaya menundukkan pasukan Liga Super iaitu Penang FC dengan jaringan 2-0 pada aksi persahabatan pramusim di Georgetown, pada Isnin.

"Mereka (pemain) lebih selesa beraksi dengan penguasaan bola dan sangat selesa dengan taktikal yang diterapkan malah benteng pertahanan juga dilihat lebih berani membina corak permainan," katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

sukan, bola sepak, KUFC, jurulatih, Liga Premier