Sabah FC sudah ada sasaran Liga Super


  • Podium
  • Sabtu, 19 Feb 2022

KIM Swee tidak mahu terburu-buru dalam mencapai sasaran itu, sebaliknya mahu para pemain fokus dalam satu perlawanan ke satu perlawanan. — Sabah FC

DENGAN persiapan pramusim berjalan lancar termasuk mendapatkan pemain baharu, pasukan Sabah FC mengintai peluang untuk berada dalam lima pasukan teratas Liga Super musim ini.

Ketua Jurulatihnya, Datuk Ong Kim Swee berkata, persediaan pasukan itu kini 70 hingga 80 peratus, selepas melihat kualiti persembahan serta corak permainan ditunjukkan pemainnya di Piala Sabah Maju Jaya (Piala SMJ) bermula 12 Februari lalu dan berakhir malam Jumaat.

Bagaimanapun beliau tidak mahu terburu-buru dalam mencapai sasaran itu, sebaliknya mahu para pemain fokus dalam satu perlawanan ke satu perlawanan.

"Saya berharap pasukan ini mampu mencapai lebih daripada apa yang disasarkan. Jika kita mampu mencapai kejayaan, saya percaya kita mempunyai peluang baik untuk mencipta sejarah mahupun melakar satu lagi kejayaan untuk pasukan Sabah,” katanya kepada pemberita di Kota Kinabalu pada Sabtu.

Beliau ditemui pada majlis pelancaran jersi pasukan Sabah FC bagi Liga Malaysia musim ini yang disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor.

Sabah FC pada majlis itu melancarkan jersi tempat sendiri berwarna merah yang dinamakan sebagai ‘My Skin’ menggunakan elemen Linangkit iaitu corak sulaman tradisi masyarakat Sabah, manakala ‘Dua Belas’ berwarna biru muda bagi jersi tempat lawan menggunakan kontur Gunung Kinabalu.

Kedah Darul Aman FC (KDA FC) muncul juara Piala SMJ malam Jumaat, selepas menduduki tangga teratas daripada empat pasukan yang bertanding diikuti TRW Kelantan FC, Sabah FC dan Sarawak United.

Musim ini, antara pemain baharu menyertai Sabah FC termasuklah pemain kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat, Dominic Tan, Mohd Rizal Mohd Ghazali dan Baddrol Bakhtiar, selain pemain import, Jackson de Souza yang merupakan bekas pertahanan kelab terkemuka Brazil, Sao Paulo.

Sementara itu, Hajiji berkata, beliau yakin Sabah FC akan berjaya di bawah kepimpinan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Sabah, bersama pasukan pengurusannya.

Beliau ingin melihat Sabah kembali menjadi pasukan bola sepak yang hebat, digeruni dan dihormati bukan sahaja di peringkat kebangsaan tetapi juga di rantau ini, malah pernah melahirkan ramai bintang terkemuka seperti Datuk James Wong, Datuk Hasan Sani, Matlan Marjan dan Peter Rajah.

"Saya percaya dengan komitmen dan kerja keras, Sabah FC akan dapat bangkit sekali lagi. Teruskan dengan formula yang betul dan taraf bola sepak kita akan melonjak ke tahap yang baharu,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji menggesa semua pemain bola sepak Sabah FC untuk sentiasa mengekalkan profesionalisme termasuk menerapkan disiplin tinggi, bagi terus menjaga reputasi diri, kerjaya dan pasukan, selain menjadi contoh kepada para pemain pelapis. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram