Kalah dengan Laos, komen 'pedih' dari Jakarta


SEBAHAGIAN daripada aksi pemain negara yang tewas dalam perlawanan menentang Laos dalam AFF 2022 di Kemboja pada Jumaat. — Facebook

KEKALAHAN skuad bawah 23 tahun (B-23) negara dengan pasukan Laos di Kejuaraan B-23 Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) 2022 nampaknya mendapat respon negatif daripada peminat bola sepak tempatan.

Ramai yang menganggap prestasi pemain skuad bola sepak negara amat ketinggalan berbanding negara jiran yang satu ketika dahulu dianggap pasukan belasahan sahaja.

Malah, kemahiran bola sepak bagi setiap pemain juga dilihat antara punca skuad negara gagal menguasai padang dalam perlawanan yang diadakan di Stadium Prince, Kemboja pada Jumaat.

Bukan sahaja peminat bola sepak tempatan, seorang pengguna media sosial Facebook dari Indonesia, Nana Hariana juga sempat meninggalkan komen terhadap prestasi semasa skuad B-23 negara.

netzz

TANGKAP layar komen yang ditinggalkan di Facebook selepas kekalahan Malaysia kepada Laos pada Jumaat. — Facebook

"Pemain Malaysia bermain dengan baik dalam satu pasukan seperti yang dilakukan dalam kejohanan Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23 di China atau dalam Sukan Sea sebelum ini.

"Tetapi perlu diingat, pasukan seperti Kemboja, Timor Leste atau Laos mempunyai perkembangan yang baik melibatkan pasukan belia mereka. Kebanyakan pemain muda beraksi laju dan mempunyai kawalan bola yang sangat baik.

"Sekarang, pertahanan Malaysia nampaknya sudah tidak mampu mengawal pergerakan pemain Laos. Masa ada perlawanan timbal balik dan semoga berjaya dari Jakarta," katanya.

Menerusi perlawanan semalam, Laos menewaskan Malaysia dengan jaringan 2-1. Gol pertama dijaringkan oleh A Selvan pada penghujung separuh masa pertama.

Laos kemudian kembali merapatkan kedudukan dengan jaringan pertama mereka pada minit ke 56 menerusi pemainnya, Bounphachan Bounkong.

Kelekaan pemain negara terus membuka ruang kepada Laos untuk menjaringkan gol kedua mereka oleh Phetdavanh Somsanid pada minit ke-78. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram