EKSKLUSIF

Ibu bapa perlu pantau anak-anak, elak jadi mangsa pedofil di platform video games


  • 112
  • Selasa, 22 Feb 2022

MCMC menasihati ibu bapa untuk pantau anak-anak yang aktif bermain permainan video dalam talian. - Gambar Hiasan (The Star)

IBU bapa perlu memainkan peranan untuk memantau anak-anak mereka yang aktif bermain permainan video secara dalam talian untuk mengelakkan mereka daripada menjadi mangsa penjenayah yang menggunakan platform terbabit.

Ketua pegawai kawal selia Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Zulkarnain Mohd Yasin ketika ditanya mengenai laporan bahawa golongan pedofil kini aktif memburu mangsa di platform tersebut, berkata, MCMC tidak mempunyai kuasa khusus untuk memantau serta mengambil tindakan penguatkuasaan.

“Ini di luar bidang kuasa kita tapi sekiranya ada laporan kita akan cuba untuk membantu pihak berkuasa lain, sama ada melalui bantuan nasihat atau bantuan teknikal,” katanya dalam satu temubual eksklusif bersama Majoriti.



Zulkarnain berkata MCMC tidak ada kuasa khusus untuk memantau platform permainan video dalam talian.

Menurut Zulkarnain, MCMC turut mengadakan kerjasama dengan Interpol dan beberapa agensi lain yang sentiasa berkongsi maklumat terutama sekali berkaitan aktiviti pedofil atau mana-mana aktiviti yang memudaratkan kanak-kanak dalam talian.

Zulkarnain berkata, ibu bapa seharusnya mengambil tahu mengenai isi kandungan permainan video yang dimain anak-anak, serta peka terhadap perubahan diri kanak-kanak terbabit.

“Ibu bapa perlu melihat isi kandungan permainan tersebut sama ada bersesuaian atau tidak, kemudian sama ada permainan tersebut memerlukan mereka mengeluarkan belanja untuk membeli macam-macam benda, jadi ini semua adalah risiko yang perlu diawasi.

“Sesetengah permainan mudah alih mempunyai rating tetapi adakah ibu bapa sedar tentang rating ini, kadangkala kandungan permainan ini tak bermasalah tetapi sebaik sahaja perbualan (berbaur lucah) bermula, jadi ini yang saya kata berada di luar kawalan kami," katanya.

Majoriti sebelum ini melaporkan bahawa permainan video secara dalam talian kini menjadi “taman permainan” buat golongan pedofil memburu mangsa.



Laporan Majoriti sebelum ini.

Trend terbaharu yang membimbangkan ini turut diakui Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan yang menjelaskan bahawa pihak polis suda menerima laporan mengenai kanak-kanak yang menjadi mangsa ugut predator seks yang dikenali di platform permainan multipemain.

Berselindung di sebalik akaun dengan nama palsu, penjenayah seksual ini terlebih dulu akan mendampingi sasaran mereka sebagai salah seorang pemain bagi mendapatkan kepercayaan mangsa.

Predator seks ini turut mengambil kesempatan di atas kenaifan pemain untuk memeras ugut supaya menghantar gambar atau video bogel mereka untuk mengelak daripada akaun mangsa diharamkan atau dihalang untuk meningkat naik ke satu peringkat yang lebih tinggi.

Selain itu, pemain yang tanpa segan silu menggunakan ruangan chat dalam permainan video untuk bercakap mengenai perkara-perkara tidak senonoh dan berbaur lucah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram