POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan seorang lelaki warga tempatan iaitu Orang Kena Tahan (OKT) meninggal dunia di wad Covid-19 di Hospital Kota Tinggi, Johor, pada Jumaat.
Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Azri Ahmad berkata, OKT berkenaan mengalami demam dan muntah serta disahkan positif wabak Covid-19, dihantar ke hospital berkenaan pada 16 Februari untuk rawatan lanjut.
"OKT sebelum ini ditumpangkan sementara dalam lokap polis ekoran penularan Covid-19 di penjara. Punca kematian OKT berkenaan masih tidak diketahui dan Unit Siasatan Jenayah dan Kematian dalam Tahanan JIPS akan menjalankan siasatan.
"OKT berusia 43 tahun itu sebelum ini ditahan pada 21 Januari lepas oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi, Johor yang disiasat di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Azri berkata, OKT telah dituduh di mahkamah pada 25 Januari lepas dan jamin telah ditawarkan namun OKT gagal sediakan penjamin menyebabkan OKT diperintahkan menjalani tahanan reman penjara.
Beliau berkata, tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 1 Februari lepas dan akan dibicarakan pada 28 Februari ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram