KELUARGA Malaysia yang majmuk seharusnya menjadikan perbezaan antara satu sama lain sebagai suatu kelebihan dan keistimewaan untuk merapatkan hubungan dan bukan untuk memisahkan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata, di sebalik perbezaan itu, rakyat Malaysia perlu mengutamakan sikap toleransi dan saling memahami tentang agama, adat dan budaya yang sudah terjalin sekian lamanya di negara ini.
"Kita dapat melakukan ini dan kita mampu untuk hidup aman dan harmoni, sekali gus dapat menterjemahkan nilai keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran hidup sebagai keluarga besar iaitu Keluarga Malaysia.
"Kita telah menyaksikan seluruh Keluarga Malaysia, ketika berdepan saat sukar seperti pandemik Covid-19, berganding bahu menyumbang untuk memulihkan semula negara. Tidak kira apa jua bangsa dan agama, kita saling menyokong dan membantu antara satu sama lain,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Educity, di Iskandar Puteri, Johor pada Jumaat yang turut dihadiri Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong dan Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad.
Mengenai perayaan Tahun Baharu Cina 2022, Perdana Menteri berkata, tahun ini yang merupakan zodiak Harimau diharap dapat menjadi lambang atau bukti bahawa negara Malaysia mampu menangani sebarang ancaman dan dugaan secara bersama.
"Dikenali sebagai raja segala haiwan, zodiak ini dikaitkan dengan kekuatan, mengusir kejahatan dan keberanian.... Kebersamaan inilah yang menguatkan kita ibarat serumpun bak serai, sesusun bak sirih," katanya.
Acara tahunan anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya itu diadakan bertujuan mempromosikan kebudayaan negara dan mengukuhkan perpaduan kaum ke arah keharmonian serta kemakmuran Keluarga Malaysia.
Ia diadakan dalam keadaan sederhana dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi membendung jangkitan Covid-19, selain kesemua tetamu termasuk pengamal media perlu menjalani ujian kendiri Covid-19 sebelum memasuki lokasi majlis makan malam itu. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram