KETUA jurulatih baharu skuad bola sepak kebangsaan, Kim Pan-gon secara rasminya diperkenalkan buat kali pertama kepada umum dalam satu sidang media di Wisma FAM di Petaling Jaya, Selangor pada Khamis.
Dalam sidang media pertamanya sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya itu, Pan-gon ada bercakap beberapa perkara mengenai skuad kebangsaan antaranya gaya permainan yang bakal diterapkannya serta kelemahan pemain negara.
Beliau juga ada mendedahkan hasrat serta impiannya untuk membawa Harimau Malaya ke kejohanan bola sepak paling berprestij, Piala Dunia satu hari nanti.
Perkara itu ternyata mendapat perhatian netizen yang sudah sekian lama ditabur dengan harapan dan janji-janji manis untuk ke kejohanan selang empat tahun itu.
Sebahagian netizen merasakan harapan yang diletakkan oleh pengendali yang berasal dari Korea Selatan itu adalah terlalu tinggi dan amat sukar dicapai seperti angan-angan Mat Jenin.
Menurut netizen, beliau harus fokus terhadap untuk meletakkan negara sebaris pasukan gergasi Asia terlebih dahulu sebelum bercita-cita tinggi seperti itu.
Malah ada yang berpendapat bahawa beliau perlu membuktikan Malaysia mampu bersaing dengan gergasi Asia Tenggara seperti Indonesia, Vietnam dan Thailand terlebih dahulu.
"Bawa pasukan Malaysia ke peringkat Asia dulu dan sekurang-kurangnya ke Final Piala Asia, lepas tu baru cerita bawa Malaysia ke Piala Dunia. Malaysia di peringkat Asia Tenggara pun terumbang-ambing, apakah terlalu awal cerita pasal ke Piala Dunia?" kata Panersilbam Selvam.
"Persoalannya kau belum latih lagi dah cakap bukan-bukan. Menang Piala AFF, Piala Asia dulu... Impikan yang ini dahulu. Piala AFF pun dah 11 tahun kering, itu kira piala dalam kampung sendiri saja. Pemain semua setaraf fizikal dan skil," ujar Pok De Jem Lazin.
Sementara itu, ada yang berpendapat impian ke Piala Dunia jauh untuk dicapai selagi pentadbiran Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak berubah.
"Ubah dahulu pentadbiran dalam FAM tu. Selagi ada politik dan kroni, selagi itulah bola sepak Malaysia berada dalam situasi syok sendiri. Nak bawa Malaysia ke Piala Dunia, macam tengok sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu," kata Qong Qiak.
Dalam sidang media pada Khamis, Pan-gon turut memperkenalkan empat individu yang bakal membantunya iaitu penolong jurulatih, Pau Marti Vicente, Cho Jun Ho (jurulatih penjaga gol), Dr Gokhan Kandemir (jurulatih kecergasan) dan Lim Jaehun (penganalisis).
Dalam pada itu, perlawanan persahabatan menentang Filipina pada 23 Mac bakal menjadi ujian pertama buat Pan-gon dan barisan kejurulatihan baharu skuad Harimau Malaya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram