MASALAH capaian internet di kawasan luar bandar Sabah dan Sarawak bukan satu isu baharu malah telah hebat diperdebatkan sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak pada 18 Disember tahun lalu.
Malangnya, isu tersebut masih menjadi rungutan dalam kalangan penduduk khususnya para pelajar, guru-guru serta usahawan dalam talian yang memerlukan liputan internet bagi menjalankan urusan harian.
Rata-rata warganet juga menyatakan rasa kesal apabila perihal pertukaran nama jawatan Ketua Menteri kepada 'Perdana' lebih mendapat perhatian berbanding permasalahan internet lemah yang membelenggu sebahagian besar rakyat Bumi Kenyalang itu.
Seorang pengguna Facebook, Damian Albert mendakwa, masalah rangkaian internet di Sarawak merupakan isu lama yang seakan-akan tiada tindakan susulan.
"Itu yang saya katakan, bukan tidak setuju dengan gelaran Premier Sarawak, tetapi jika apa-apa urusan untuk kepentingan diri, tindakan akan segera.
"Masalah rangkaian (internet) ini dah lama, seakan tiada tindakan susulan....ala acuh tak acuh dengan segala fasiliti untuk rakyat," tulisnya di Facebook pada Khamis.
TANGKAP layar komen netizen berhubung masalah internet di Sarawak. — Facebook
Komen Damian itu adalah sebagai reaksi kepada ciapan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa yang mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk berhubung dengan Sarawak Rural Broadband Network (SRBN) mengenai masalah capaian internet di Pakan.
Ciapan itu rentetan kepada berita kepayahan yang dihadapi pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St. Augustine, Frank Steward anak Sa, yang terpaksa mendaki Bukit Kelingkang selama dua jam untuk mendapatkan kelajuan internet bagi menghadiri interviu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Perak secara dalam talian.
Sementara itu, pengguna Facebook menggunakan nama Jeanypyunkjdang Lim pula berkata, kerajaan seharusnya mencari dan melihat kekurangan kemudahan asas di luar bandar terutamanya kawasan pedalaman.
"Kenapa sanggup berbelanja jutaan ringgit untuk naik taraf apa juga kemudahan di kawasan bandar hingga mengabaikan keperluan luar bandar.
"Semasa PRN, tidak kira di pelosok hutan manapun rakyat dicari untuk sokong pilihan raya. Carilah sekarang masalah yang rakyat hadapi.
"Tolonglah rakyat luar bandar yang pernah datang jauh dari pedalaman tu untuk pangkah pilih kerajaan. Kenapa tunggu rakyat merengek, menggempar baru toleh," persoalnya.
TANGKAP layar komen netizen berhubung masalah internet di Sarawak. — Facebook
Sementara itu, seorang lagi pengguna Facebook, Richard Pau mempersoalkan di mana janji kerajaan untuk menjadikan Sarawak antara penerima terawal dalam perancangan pelaksanaan rangkaian 5G mulai 2022.
"Mana janji cakap Sarawak negeri pertama dapat 5G...sebelum PRN cakap negeri ini dapat 5G, sekarang sudah habis PRN...mana dia?," persoalnya.
Annuar Musa sebelum ini pernah mengumumkan Sarawak bakal diberi fokus utama dalam Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL).
Ini katanya, termasuk menjadi antara penerima terawal dalam perancangan pelaksanaan rangkaian 5G mulai tahun depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram