SEPERTI kata pepatah kasih bapa sepanjang masa, begitulah yang ditunjukkan ayah seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St. Augustine, Betong, Sarawak yang sanggup mendirikan khemah di kawasan hutan Bukit Kelingkang demi mendapatkan talian internet.
Usaha murni warga emas itu, Sa anak Ujom, 52, dilakukan bagi membolehkan anaknya menjalani interviu dalam talian untuk kemasukan ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di Tanjung Malim, Perak.
Pelajar itu, Frank Steward anak Sa, 21, perlu mengikuti dua sesi interviu bagi mata pelajaran Pendidikan Moral serta subjek Bimbingan dan Kaunseling masing-masing pada 7 dan 14 Februari lalu, pada pukul 8.30 pagi.
Bagaimanapun, kerana capaian internet di rumahnya tidak cukup kuat bagi tujuan membuat panggilan video dalam tempoh lama, bapanya sanggup meredah jalan balak yang memakan masa dua jam perjalanan untuk mendirikan khemah berkenaan.
Frank ketika dihubungi Majoriti pada Rabu berkata, dia perlu keluar dari rumah seawal pukul 6 pagi untuk mendaki bukit bagi mengikuti sesi interviu pada kedua-dua hari berkenaan.
"Hari pertama cuaca baik namun, pada hari kedua interviu, hujan turun lebat menyebabkan seluar saya basah ketika sedang ditemuduga pensyarah dari UPSI itu.
"Kami juga bawa bekalan makanan untuk mengisi perut kerana sesi interviu itu mengambil masa kira-kira 45 minit," ceritanya.
PERKONGSIAN Mario berhubung kesukaran yang perlu dihadapi adiknya untuk mendapatkan internet. — Facebook
Frank juga tidak menyangka kisah yang dikongsikan abangnya, Mario anak Sa di Facebook pada Isnin tular di media sosial sehingga menarik perhatian warganet.
"Saya terharu dan bangga kerana posting itu dibuat bukan untuk viral tetapi kami ingin merakam memori semasa interviu itu bagi dijadikan kenangan generasi akan datang," katanya.
Frank juga berharap, kemudahan jalur lebar di kawasan rumahnya dapat dinaik taraf bagi membolehkan urusan seperti pembelajaran dalam talian dapat diikuti dengan baik.
"Kemudahan jalan tar juga amat diharapkan kerana kawasan ini dihubungkan dengan jalan balak tanah merah," katanya.
KEADAAN jalan balak yang perlu diredah Frank selama dua jam untuk mendapatkan capaian talian internet yang baik. — Facebook
Sementara itu, Mario, 28, berkata, bapanya mendirikan khemah daripada zink dan kayu selain menyediakan tikar bemban sebagai alas supaya Frank dapat menjalani sesi temuduga dalam keadaan selasa.
Foto yang dikongsikan Mario juga menunjukkan Frank hanya menggunakan kerusi plastik berwarna biru sebagai meja dengan berlatarbelakangkan kain bercorak tradisional pua kumbu yang sinonim dalam kalangan masyarakat Iban.
"Khemah ini ayah kami buat untuk adik di Bukit Kelingkang sebab dia ada dua interviu dengan UPSI.
"Terima kasih ayah atas usaha buat tempat ini untuk adik berteduh ketika interviu. Kasih bapa tiada ganti," katanya.
Mario berkata, kepayahan itu antara yang cabaran yang terpaksa dihadapi penduduk di pedalaman kerana internet kurang stabil menyebabkan mereka perlu mencari jalan demi mendapatkan capaian yang lebih laju.
"Saya harap ada pihak yang peka terhadap isu yang dilalui oleh penduduk di sini supaya dapat ditambah baik pada masa depan.
"Usaha kejayaan itu datang dari inisiatif diri sendiri dan bukannya menggunakan 'kabel' tertentu atau jalan mudah mendapatkan sesuatu yang dihajati," katanya.
Perkongsian Mario mendapat lebih 1,600 tanda suka dan 1,054 perkongsian setakat 5 petang Rabu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram