Nasib pelajar daki bukit dua jam mahu ikuti interviu UPSI dapat perhatian menteri


  • Primer
  • Khamis, 17 Feb 2022

PONDOK yang dibina untuk Frank meneruskan sesi interviu dengan UPSI. — Facebook

KISAH pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St. Augustine, Betong, Sarawak yang terpaksa keluar seawal pukul 6 pagi untuk mendaki kawasan Bukit Kelingkang demi mendapatkan talian internet bagi menduduki interviu dalam talian dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), akhirnya menarik perhatian Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

Menerusi satu ciapan di Twitter rasmi beliau pada Khamis, Annuar berkata, dia berasa kagum dengan ketabahan pelajar tersebut, Frank Steward anak Sa, 21, yang sanggup meredah jalan balak dengan tempoh perjalanan memakan masa dua jam untuk mengikuti sesi interviu tersebut.

"Saya amat bersimpati dengan apa yang beliau harus lalui, namun kagum dengan ketabahan beliau," ciap beliau.

annuar twit

TANGKAP layar ciapan Annuar Musa berhubung kisah Frank yang dilaporkan Majoriti. — Twitter

Annuar berkata, beliau telah mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk berhubung dengan Sarawak Rural Broadband Network (SRBN) supaya masalah itu dapat ditangani.

"Rangkaian internet tersebut adalah di bawah seliaan SRBN. Saya telah mengarahkan MCMC untuk berhubung dengan SRBN supaya masalah ini dapat ditangani," ciapnya lagi.

Majoriti pada Rabu melaporkan Frank perlu keluar dari rumah seawal pukul 6 pagi untuk mendaki bukit bagi mengikuti sesi interviu Pendidikan Moral serta subjek Bimbingan dan Kaunseling masing-masing pada 7 dan 14 Februari lalu.

Ketika dihubungi Majoriti, Frank menceritakan bahawa capaian internet di rumahnya tidak cukup kuat dan laju bagi tujuan membuat panggilan video dalam tempoh lama.

Justeru itu, kata Frank, bapanya, Sa anak Ujom, 52, sanggup mendirikan khemah di kawasan hutan Bukit Kelingkang bagi membolehkan dia menjalani interviu dalam talian untuk kemasukan ke UPSI. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram