Nasib Frank terus dapat perhatian, MCMC bina menara baharu di rumah panjang Suing


  • Primer
  • Jumaat, 18 Feb 2022

SEBUAH menara baharu di rumah panjang Suing akan dibina tahun ini bagi memberikan liputan 4G di kawasan tersebut. — Gambar hiasan

SEBUAH menara komunikasi baharu akan dibina bagi mengatasi masalah capaian internet di rumah panjang Suing di Teberu, Ulu Kemalih, Pakan di Sarawak.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan memaklumkan, sebuah menara baharu telah dirancang untuk dibina pada tahun ini oleh Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) untuk memberikan liputan 4G di kawasan tersebut.

Kenyataan MCMC itu adalah sebagai maklum balas kepada artikel berita kepayahan yang dihadapi pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St. Augustine, Frank Steward anak Sa, yang disiarkan Majoriti pada Rabu.

Pemuda berbangsa Iban itu terpaksa mendaki Bukit Kelingkang selama dua jam untuk mendapatkan kelajuan internet bagi menghadiri interviu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Perak secara dalam talian.

Menurut MCMC, berdasarkan maklumat diterima, perkhidmatan internet sedia ada di rumah panjang berkenaan adalah di bawah projek Sarawak Linking Urban Rural and Nation (SALURAN) yang juga inisiatif daripada kerajaan Sarawak melalui Lembaga Multimedia Sarawak (SMA).

"SALURAN adalah perkhidmatan internet yang menggunakan teknologi satelit dan mampu memberikan purata kelajuan sehingga 25Mbps dan perkhidmatan tersebut disediakan sebagai langkah interim bagi memberikan liputan internet kepada penduduk di rumah panjang Suing dan sekitarnya, katanya.

Sehubungan itu, MCMC akan bekerjasama dengan SMA untuk mengenal pasti kaedah capaian lebih sesuai bagi memastikan tahap kualiti pengalaman ke atas perkhidmatan internet SALURAN sedia ada di rumah panjang Suing.

"Langkah tersebut penting bagi membolehkan para penduduk setempat termasuk pelajar yang terkesan itu dapat mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran selain melaksanakan urusan seharian dengan lancar,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram