PENYERANG baharu PJ City FC, S. Kumaahran meletakkan sasaran untuk cuba mendapatkan sekurang-kurangnya 10 gol bersama kelab itu dalam saingan Liga Super musim depan.
Bagaimanapun katanya, fokus utama adalah membantu skuad The Phoenix untuk mendapatkan tiga mata penuh dalam setiap perlawanan.
"Saya memang ada sasaran tersendiri, cuma yang penting bantu pasukan terlebih dahulu mendapatkan tiga mata penuh, tidak kira siapa pun yang akan menjaringkan gol.
"Cuma kalau mendapat peluang, sudah tentu saya akan menggunakannya sebaik mungkin untuk mendapatkan gol peribadi, macam tahun lalu saya meraih enam gol, mungkin tahun ini mampu menjaringkan sekurang-kurangnya 10 gol.
"Berhubung soal kecederaan, penghujung musim 2021, saya mengalami kecederaan tetapi tidak terlalu serius, yang mana saya sudah biasa dengan keadaan seperti itu dan biasanya akan cepat sembuh," ujarnya.
Kumaahran merupakan enam pemain baharu yang dibawa masuk oleh PJ City musim ini selain penjaga gol, Azfar Arif Mohd Sukri; R. Aroon Kumar; R. Barathkumar; Nasir Basharudin; Marcus Mah dan Shivan Pillay Asokan.
Kehadiran pemain berusia 25 tahun itu bagi membantu seorang lagi penyerang, Darren Lok yang sebelum ini sering dihimpit masalah kecederaan selain penyerang lain seperti Mahali Jasuli, Khyril Muhymeen dan Sunil Chandran.
Kumaahran sebelum ini pernah beraksi bersama Lok dalam skuad Johor Darul Takzim (JDT) II ketika 2018 sebelum berhijrah ke Melaka United musim lepas.
“Yang penting sekali saya kena dapatkan tempat dahulu untuk bermain dan kalau bergandingan dengan Lok, saya akan menggunakan peluang sebaik mungkin untuk pasukan terutamanya untuk capai sasaran kedudukan lima terbaik.
“Musim lepas mungkin sasaran mereka tidak tercapai apabila berada di tangga ketujuh, jadi tahun ini dengan kehadiran beberapa lagi pemain baharu, kami semua akan cuba membantu pasukan sebaik mungkin untuk raih sasaran itu," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram