Lelaki warga asing diculik, dipukul kerana masalah hutang di Shah Alam


  • 112
  • Khamis, 20 Jan 2022

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(C)Akta Imgresen 1959/63.

SEORANG lelaki warga asing berdepan detik cemas selepas dilarikan sekumpulan lelaki selain dipukul kerana masalah hutang di Shah Alam, Selangor pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, mangsa berjaya diselamatkan polis selepas menerima laporan daripada isterinya berusia 41 tahun pada jam 12.01 tengah malam.

"Wanita itu mendakwa telah menerima panggilan daripada suaminya yang meminta wang berjumlah RM5,000 setelah diculik sekumpulan lelaki," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Mohamad Farouk berkata, susulan laporan itu, pihaknya menahan dua lelaki warga tempatan dan seorang lelaki warga asing berusia 26 hingga 40 tahun di tepi sebuah restoran di Taman Cempaka, Ampang Jaya, Kuala Lumpur pada jam 5.55 petang pada Selasa.

"Kita berjaya menyelamatkan mangsa, lelaki berusia 43 tahun itu mengalami cedera pada muka akibat dipukul suspek. Punca kejadian adalah masalah hutang," katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa mengenali suspek kerana dia pernah berurusan sebelumnya.

"Walau bagaimanapun, siasatan lanjut kes masih dijalankan," katanya.

Menurutnya, semakan rekod lampau ke atas kesemua suspek mendapati hanya salah seorang lelaki warga tempatan mempunyai satu rekod lampau berkaitan kes dadah.

"Suspek warga asing itu juga gagal mengemukakan dokumen perjalanan diri yang sah," katanya.

Mohamad Farouk berkata, kesemua suspek telah direman empat hari bermula Rabu hingga Sabtu.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(C)Akta Imgresen 1959/63," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

polis, Shah Alam, warga asing, culik, pukul