MASIH ramai rakyat Malaysia yang tidak menyedari manfaat bakal diperoleh menerusi caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), kata Datuk Sri Dr. Mohammed Azman Datuk Aziz Mohamed.
Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso itu sebaliknya menjelaskan, kebanyakan daripada mereka difahamkan hanya sekadar melihat jumlah wang caruman yang ditolak pada slip gaji.
Lantaran itu, katanya, Skuad Perkeso Prihatin diwujudkan untuk pihaknya turun padang melihat sendiri situasi sebenar kesusahan dialami pencarum.
"Bila kita hadir ke pintu atau ke rumah pencarum contohnya suami meninggal dunia akibat kemalangan atau berpenyakit, bila kita nyatakan kepada mereka bahawa arwah suami sebenarnya adalah seorang pencarum dan layak menerima faedah, tetapi ramai terkejut bahawa mereka tak tahu pun faedah itu disediakan di bawah Perkeso.
"Jadi, ini perkara yang kita selalu ambil perhatian. Bukan nak galak orang melutut, tetapi ini hak mereka. Mereka tak sedar dan tak faham apa itu faedah dalam caruman Perkeso," katanya ketika sidang media selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Majoriti dan Perkeso di ibu negara pada Khamis.
Ketika berucap dalam majlis itu, beliau berkata, aplikasi Prihatin Perkeso yang dilengkapi dengan teknologi terkini menawarkan kemudahan buat pencarum, untuk mendapatkan pelbagai informasi terbaharu mengenai caruman mereka hanya di hujung jari.
Katanya, aplikasi yang dilancarkan pada 26 November lalu itu turut menjadi salah satu daripada platform yang boleh digunakan oleh orang ramai, untuk memohon inisiatif Bajet 2022 yang dilaksanakan Perkeso.
"Melangkah ke hadapan, kami percaya Aplikasi Prihatin Perkeso ini berpotensi untuk dibangunkan menjadi sebuah aplikasi mudah alih yang lebih versatil dan komprehensif kepada pencarum Perkeso," katanya.
Selain itu, katanya, pencarum Perkeso yang ingin melanggan portal Majoriti akan ditawarkan kadar langganan yang lebih rendah berbanding kadar biasa.
Katanya, ia boleh dilaksanakan dengan menggunakan kod promosi unik, yang hanya boleh diperoleh dengan memuat turun Aplikasi Prihatin Perkeso.
Tambahan pula, pencarum juga berpeluang menikmati pelbagai tawaran dan promosi istimewa seperti jualan murah barangan gaya hidup, hadiah menari dan sebagainya di Majoriti.
"Namun, apa yang lebih penting adalah kerjasama yang akan dimeterai pada hari ini (Khamis) diyakini mampu untuk menyokong usaha Perkeso bagi mempromosi dan menguar-uarkan pelbagai inisiatif perlindungan keselamatan sosialnya kepada orang ramai dengan sokongan STAR menerusi portal Majoriti.
"Ini bukan sahaja akan membantu menarik lebih ramai rakyat Malaysia yang layak untuk memohon inisiatif-inisiatif yang ditawarkan, tetapi lebih penting lagi, meningkatkan kesedaran umum akan peri pentingnya jaringan perlindungan keselamatan sosial untuk setiap dari kita, seterusnya memperluaskannya kepada segenap lapisan rakyat Malaysia," tambahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram