Lebih 300 permohonan baiki, bina rumah mangsa banjir diterima KPLB pada hari pertama


  • Primer
  • Selasa, 11 Jan 2022

KPLB memperuntukkan RM50 juta di bawah Inisiatif Rumah Kasih Keluarga Malaysia.

LEBIH 300 permohonan dan semakan kelayakan untuk pembaikan dan bina baharu rumah pasca banjir diterima Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) di Pusat Sehenti Tabika Kemas, Bukit Changgang, Banting Selangor setakat Selasa.

Menurut Ketua Setiausahanya, Datuk Ramlan Harun, KPLB memperuntukkan RM50 juta di bawah Inisiatif Rumah Kasih Keluarga Malaysia.

"Daripada jumlah itu, bantuan akan diagihkan dengan kadar RM15,000 untuk kerja-kerja pembaikan rumah, RM56,000 untuk membina baharu di Semenanjung dan RM68,000 untuk bina baharu di Sabah dan Sarawak.

"KPLB juga mengambil inisiatif ini untuk membantu melicin dan mempercepatkan proses pendaftaran dalam menyegerakan bantuan kepada mangsa banjir yang layak," katanya menerusi satu kenyataan pada Selasa.

Tambah beliau lagi, pihaknya juga memulakan kerja-kerja pembaikan Sabtu lalu membabitkan sembilan buah rumah mangsa banjir di Kuala Klawang, Chennah dan Jelebu, Negeri Sembilan.

Selain itu, empat buah rumah lagi di Mentakab dan Temerloh, Pahang turut menjalani kerja-kerja pembaikan dalam tempoh sama.

"Setakat ini KPLB telah menerima jumlah 1,879 unit rumah untuk baik pulih di kawasan banjir seluruh negara.

"Manakala 165 adalah untuk bina baharu rumah," ujarnya.

Permohonan di bawah Inisiatif Rumah Kasih Keluarga Malaysia itu dibuka selama tiga hari bermula hari ini (Selasa) bagi menyedia saluran bagi memudah cara mangsa banjir mendaftar kelayakan melalui borang yang disediakan.

Borang itu kemudian diserahkan kepada Pusat Kawalan Operasi Bencana, PKOB Daerah untuk diperaku Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU, JPM). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram