BANJIR luar biasa yang melanda negeri Selangor dan beberapa negeri lain di Malaysia sudah surut dengan menyaksikan mangsa bencana alam itu telah memulakan kerja mengemas dan mencuci rumah.
Dalam keadaan di mana mereka perlu mengerah segala kudrat yang ada, pastinya fasa pascabanjir menjadi tempoh yang sedih dan meletihkan lebih-lebih melihat banyak harta-benda yang rosak dan musnah ekoran bencana itu.
Bantuan yang diumumkan oleh kerajaan sudah semestinya ditagih bagi membeli peralatan asas baharu sebagai ganti kepada barang-barang yang tidak boleh diguna pakai lagi.
Begitupun, ada mangsa banjir mendakwa proses untuk memohon bantuan agak renyah selain tidak efisien kerana seolah-olah tidak diselaraskan dengan baik hingga ada yang perlu mengemukakan permohonan sama kepada dua pihak berbeza.
Seorang mangsa banjir di Taman Semarang Indah, Dengkil yang mahu dikenali sebagai Ali mendakwa, proses penyerahan dan pengumpulan borang yang dibuat di beberapa peringkat menyebabkan berlaku keciciran borang permohonan.
"Dalam kes taman kami, tiada persatuan penduduk tetap sebab kawasan ini baru diduduki pada tahun 2018, adapun yang dilantik secara tidak formal ialah pengerusi penduduk untuk follow-up berkaitan isu-isu banjir.
"Asalnya ketua kampung minta kumpulkan permohonan daripada seluruh penduduk taman meliputi beberapa keping gambar banjir, salinan kad pengenalan dan laporan polis yang perlu dikepilkan dengan borang permohonan bantuan.
"Kemudian pengerusi taman kami ini dapat maklumat lain mengatakan kena hantar lagi dua borang (borang permohonan bantuan bencana banjir kerajaan negeri) dan (borang pendaftaran bantuan wang ihsan mangsa banjir kerajaan persekutuan).
"Jadi dia kumpul semua dan hantar kepada ketua kampung untuk diserahkan kepada ahli Majlis Perbandaran Sepang sebelum borang berkenaan dihantar kepada pejabat SUK (Setiausaha Kerajaan Negeri) Selangor," katanya kepada Majoriti.
Ali mendakwa, dalam proses pengumpulan borang itu mungkin ada borang berlaku kes borang hilang di mana mangsa banjir terbabit kena mengulangi proses permohonan tadi hingga menyebabkan berlaku kelewatan dalam pembayaran bantuan.
"Jadi sekarang, rata-rata penduduk tertanya-tanya bila bantuan akan disalurkan memandangkan dah hampir sebulan sejak bencana melanda pada 18 Disember lalu.
"Kita sudah hantar borang, borang pertama katakanlah kalau ketua kampung hilangkan, tapi borang kedua yang dihantar kepada ahli majlis ikutkan ia borang yang sama dan dikemas kini daripada borang pertama yang diminta, jadi sepatutnya dah ada tindakan (pembayaran)," dakwanya.
Sementara itu, seorang lagi penduduk dikenali sebagai Jimmy berkata, sepatutnya dalam zaman serba canggih, permohonan bantuan boleh dibuat secara dalam talian seperti permohonan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM).
"Ini permohonan kena melalui pelbagai peringkat. Daripada pemohon ke pengerusi penduduk sampai ke ketua kampung sebelum ke pejabat daerah atau majlis perbandaran dan barulah ke kerajaan negeri.
"Berapa lama akan ambil masa untuk proses mengikut peringkat masing-masing? Apa jaminan borang tidak hilang dalam proses ini?" soalnya.
Pada masa sama, mereka turut menzahirkan kekecewaan kerana mendakwa penduduk Taman Semarang Indah juga tidak tersenarai dalam penyerahan Bantuan Selangor Bangkit (BSB) Kuala Langat fasa 2 yang tidak berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Berdasarkan cadangan penyerahan BSB itu, terdapat 37 buah kampung membabitkan 5,893 penerima disenaraikan untuk menerima bantuan berkenaan secara berfasa mulai 11 Januari hingga 20 Januari depan.
Dalam pada itu, semakan Majoriti di Facebook mendapati ada mangsa banjir di Meru, Klang dan Kampung Kubu Gajah, Sungai Buloh turut mengalami nasib serupa apabila bantuan yang diharapkan masih tidak disalurkan lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram