KPT salur hampir RM4 juta bantu mangsa banjir


  • Primer
  • Jumaat, 14 Jan 2022

NORAINI (tengah) ketika menyampaikan sumbangan zakat pelajar Parlimen Parit Sulong di Johor pada Jumaat. — Facebook KPT

KEMENTERIAN Pengajian Tinggi (KPT) telah menyalurkan bantuan sebanyak hampir RM4 juta kepada mangsa banjir melalui agensi-agensinya, universiti-universiti awam, politeknik dan kolej komuniti, semenjak pertengahan Disember tahun lalu.

Menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, bantuan tersebut terdiri daripada 43,806 kotak sumbangan merangkumi makanan dan keperluan asas dengan nilai sebanyak RM3.625 juta selain bantuan kewangan berjumlah RM364,000 yang telah disumbang dan diagihkan kepada mangsa yang terkesan.

Beliau berkata, bantuan berkenaan diberikan bertujuan meringankan beban mangsa setelah ramai terpaksa menanggung kerugian dan kerosakan pelbagai harta benda akibat banjir.

"Atas keprihatinan itu, KPT telah menggerakkan Misi Menyantuni Mangsa Banjir seawal 19 Disember lalu lagi.

"Penyaluran sumbangan dan operasi bantuan banjir KPT ini melibatkan enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Kelantan, Pahang dan Johor dengan lebih dari 20 daerah, termasuk dua daerah angkat iaitu Kuala Langat di Selangor dan Temerloh di Pahang,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah menyalurkan bantuan sebanyak hampir RM4 juta kepada mangsa banjir melalui agensi-agensinya, universiti-universiti awam, politeknik dan kolej komuniti, semenjak pertengahan Disember tahun lalu.

Jelas Noraini lagi, misi bantuan diteruskan pada Jumaat dan semalam (Khamis) di Mersing dan Pagoh di Johor melibatkan pemberian sebanyak 2,500 kotak bantuan keperluan kepada mangsa yang terkesan.

Tambahnya, bantuan kali ini merupakan sumbangan daripada Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Noraini berkata, secara keseluruhannya, kementerian turut menggerakkan seramai 23,745 sukarelawan meliputi 4,610 sukarelawan daripada KPT dan agensi serta 19,135 sukarelawan dari universiti awam, politeknik dan kolej komuniti.

Ujarnya lagi, selain memberi bantuan dan menggerakkan sukarelawan daripada kalangan warga kerja dan mahasiswa IPT, sebanyak sembilan kemudahan IPT iaitu enam Universiti Awam (UA) dan tiga Politeknik dan Kolej Komuniti turut dijadikan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) yang menempatkan 1,320 mangsa banjir. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Noraini Ahmad, KPT, banjir, bantuan