MBSB tawar bantuan bayaran balik buat pelanggan terjejas banjir


  • Bizz
  • Rabu, 12 Jan 2022

MBSB akan terus memberikan pengecualian fi RM1 kepada semua pelanggannya bagi pengeluaran di mana-mana ATM bank tempatan.— The Star

BANTUAN pembayaran balik ditawarkan kepada pelanggan yang terjejas akibat banjir yang membolehkan mereka menjadualkan kembali atau mengambil pembiayaan semula bagi pembiayaan peribadi dan rumah oleh MBSB Bank Bhd.

Menurut Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Nor Azam M. Taib, pelanggan boleh memohon penangguhan pembayaran balik pembiayaan, pengurangan ansuran bulanan atau lanjutan tempoh pembayaran balik.

"Kami memahami bahawa sesetengah pelanggan mungkin terjejas dari segi kewangan selepas dilanda banjir baru-baru ini. Kami ingin mereka tahu bahawa kami ada untuk membantu meringankan beban kewangan mereka,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Bank Islam itu, yang merupakan anak syarikat Malaysia Building Society Bhd, juga menjelaskan, ia akan terus memberikan pengecualian fi RM1 kepada semua pelanggannya bagi pengeluaran di mesin juruwang automatik (ATM) antara bank di bank-bank tempatan sehingga 31 Disember 2022.

Azam berkata, susulan lanjutan pengecualian itu, pelanggan akan dapat terus membuat pengeluaran tunai di ATM bank tempatan sekerap yang diperlukan tanpa perlu bimbang mengenai fi tersebut.

Sementara itu, MBSB Bank telah menyertai usaha bantuan banjir antaranya dengan mengagihkan barangan makanan asas ke kawasan yang dilanda banjir dan menggerakkan 100 pekerja untuk membantu membersihkan rumah yang terjejas.

Pelanggan yang memerlukan bantuan pembayaran balik boleh menghantar e-mel kepada MBSB Bank di [email protected]. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram