Legenda bola sepak kena kecam pertahan FAM


  • Podium
  • Rabu, 12 Jan 2022

FAM pada 2019 melancarkan DNA Bola Sepak Malaysia sebagai rujukan bagi semua pihak memahami corak permainan mengikut acuan bola sepak negara. — Facebook FAM

SUSULAN kegagalan Harimau Malaya di pentas Piala AFF Suzuki baru-baru ini, muncul suara daripada sebahagian besar peminat bola sepak tempatan yang mahukan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin supaya berundur.

Ramai yang mendakwa bahawa beliau serta barisan pengurusan tertinggi lain dalam FAM merupakan punca skuad negara semakin mundur sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Namun, perkara itu tidak dipersetujui legenda skuad kebangsaan, Datuk Jamal Nasir yang menegaskan bahawa Hamidin melakukan tugas yang baik dalam mengemudi badan induk itu sejak memegang jawatan pada 2018.

Beliau dilaporkan menggelar peminat yang mendesak Hamidin untuk berundur sebagai "berfikiran cetek" serta "tiada pengetahuan dalam sukan bola sepak".

Kenyataannya itu mendapat perhatian peminat bola sepak tempatan yang rata-ratanya tidak bersetuju dengan pandangan tersebut.

Sebahagian peminat mengecam tindakan Jamal yang mempertahankan Hamidin dan menegaskan beliau harus membuka mata melihat kegagalan yang dibawa oleh FAM.

Seorang pengguna Facebook, Mohd Khairul berkata, bekas pemain pertahanan negara itu sepatutnya sedar akan kemunduran prestasi skuad negara ketika ini dan melihat contoh pengurusan pasukan luar negara yang berundur apabila mereka gagal.

"Mahu cakap netizen fikiran cetek... habis tinggi sangat ke fikiran bola sepak kamu? Makin melingkup lagi nak back up... Buta atau buat-buat buta, duit dah habis berjuta apa yang dapat? Habuk saja.

"Ingat sikit, Harimau Malaya pernah masuk Sukan Asia, pergi Sukan Olimpik. Setakat Jepun, Korea tu 'celah gigi' saja boleh fight. Pasukan sekarang ada?

"Tengok pasukan luar, kalah letak jawatan demi maruah sendiri dan maruah pasukan maruah negara kerana mereka malu," katanya.

Seorang lagi peminat, Fir Mokhtar berkata, FAM dilihat tidak mempunyai perancangan serta idea yang bernas untuk mengembalikan semula zaman kegemilangan bola sepak negara.

Malah, inisiatif seperti program naturalisasi dilihat sebagai satu usaha gagal FAM untuk mendapatkan kejayaan dalam tempoh singkat.

"Sekarang ni buka minda, buka mata, buka telinga dan buka hati... Bacalah kritikan pedas daripada rakyat Malaysia yang merupakan penyokong setia Harimau Malaya!

"Memanglah mereka minta berundur sebab dah gagal, cuba anda tunjukkan cara untuk membangunkan bola sepak. Tengok hasil pun tak ada.

"Dahlah bulan Januari tak ada perlawanan persahabatan, jadi apa plan untuk Malaysia? Kata nak layak Piala Asia (jadi) buatlah persiapan betul-betul.

"Projek naturalisasi jangka pendek pun gagal sebab pilih pemain yang gagal," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram