Long Tiger rancang lari ke negara jiran


  • 112
  • Rabu, 29 Dis 2021

AYOB Khan pada sidang media kes membabitkan Long Tiger di IPK Johor Bahru, Johor pada Rabu. — Bernama

PENAHANAN lelaki etnik Rohingya dikenali sebagai Long Tiger di sebuah rumah di Kuala Ketil, Sungai Petani, Kedah disifatkan berlaku pada waktu yang tepat selepas dia dipercayai dalam perjalanan meloloskan diri ke Indonesia dan Thailand.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, Long Tiger atau nama sebenarnya Abdul Hamim Ab Hamid, 33 berjaya ditahan pada Selasa selepas 13 hari melarikan diri dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak, Johor.

"Tangkapan itu dilakukan susulan penahanan dua lelaki berusia 36 dan 38 tahun yang dipercayai bersekongkol dengan suspek antara jam 7.25 malam hingga 3 pagi Rabu di sekitar Batu Pahat.

"Kedua-dua lelaki itu dipercayai membantu suspek dengan memotong gari tangannya selain membeli kad sim sebelum melarikan diri ke utara negara.

"Kita percaya Long Tiger yang melarikan diri ke Kedah dalam perjalanan keluar dari negara ini sama ada ke Thailand dan Indonesia," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di Johor pada Rabu.

Ayob Khan turut memberitahu, pondan berusia 46 tahun yang ditahan bersama Long Tiger di rumah di Kuala Ketil, Sungai Petani dipercayai rakan yang dikenali di Facebook kira-kira dua tahun lalu.

"Siasatan masih dijalankan bagi mengenalpasti sama ada suspek terlibat dibayar oleh Long Tiger atau bersekongkol. Polis juga siasat sekiranya ada individu yang membiayai suspek berkenaan.

Tambah Ayob Khan, pihaknya juga sedang menyiasat sebuah akaun Facebook milik seorang bekas anggota polis yang disyaki memuat naik gambar penangkapan Long Tiger di media sosial.

"Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," ujarnya.

Pada Selasa, media tempatan melaporkan, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani mengesahkan penangkapan lelaki terbabit.

Pada 15 Disember lalu, Long Tiger meloloskan diri melalui pintu utama mahkamah kira-kira jam 11.55 pagi sebelum perbicaraan bermula.

Suspek sebelum itu tiba dari Penjara Sungai Udang, Melaka untuk perbicaraan mengikut Seksyen 388 Kanun Keseksaan kerana kes pemerasan.

Suspek juga masih mempunyai status perbicaraan di Mahkamah Sesyen Muar membabitkan kesalahan rogol mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan serta Seksyen 224 kanun sama kerana lari dari tahanan. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram