SEORANG lelaki berperwatakan wanita dijatuhi hukuman penjara lima bulan di Mahkamah Majistret Sungai Petani pada Ahad atas pertuduhan melindungi lelaki berketurunan Rohingya dikenali sebagai Long Tiger.
Majistret Nurul Ainna Ahmad menjatuhkan hukuman itu ke atas Rusli Mat, 47, selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan melindungi Abdul Hamim Ab Hamid.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melindungi Abdul Hamim dengan niat hendak mengelakkannya daripada ditangkap di sebuah rumah di kebun tebu, Jalan Kuala Ketil, Sungai Petani kira-kira jam 3.15 petang pada 28 Disember 2021.
Oleh itu, tertuduh didakwa melakukan satu kesalahan mengikut Seksyen 216 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan tahanan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tiga tahun dengan denda ataupun tidak, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh menerima panggilan telefon pada jam 10 pagi pada 18 Disember lepas daripada satu nombor tidak dikenali dan memperkenalkan diri sebagai Abdul Hamim ataupun dikenali sebagai Long Tiger yang memberitahu mahu menumpang di rumahnya sementara mahu melarikan diri ke Indonesia.
Abdul Hamim kemudian datang ke rumah tertuduh kira-kira jam 8.45 malam hari sama dan menumpang di kediaman itu lebih kurang selama 11 hari.
Tertuduh didakwa dengan pengetahuannya tahu bahawa Abdul Hamim merupakan individu yang dikehendaki polis kerana melarikan diri daripada tahanan ketika proses perbicaraan di Mahkamah Tangkak, Johor.
Rusli didakwa dengan rela hati memberi kebenaran kepada Abdul Hamim untuk menyembunyikan diri daripada polis sementara menunggu tekong membawanya ke Indonesia. — Sinar Harian
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram