Long Tiger lolos, dua anggota polis digantung tugas - Ayob Khan


  • 112
  • Rabu, 22 Dis 2021

AYOB Khan berkata dua anggota itu digantung tugas sehingga siasatan kes berkenaan selesai.

DUA anggota polis digantung tugas bagi membantu siasatan berhubung insiden seorang lelaki etnik Rohingya dikenali sebagai 'Long Tiger' yang berjaya meloloskan diri daripada tahanan lokap di Mahkamah Majistret Tangkak pada 15 Disember lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dua anggota itu digantung tugas sehingga siasatan kes berkenaan selesai kerana disyaki terlibat secara langsung atas kesalahan kecuaian yang menyebabkan tahanan itu berjaya melarikan diri.

"Sebelum ini kita ada panggil empat anggota untuk soal siasat dan hasil daripada itu dua daripadanya kita tahan (gantung) kerja kerana disyaki terlibat secara lansung atas kesalahan cuai. Walaupun mereka ini (dua anggota polis) tidak dituduh lagi di mahkamah, kita lihat kesalahan ini serius dan kita ambil tindakan untuk tahan kerja mereka.

"Kita akan siasat daripada segala aspek sama ada atas kecuaian atau bersekongkol, bersubahat ke ataupun dia menerima rasuah, kita akan lihat daripada semua yang ada," katanya ketika ditemui pemberita pada Operasi Bersepadu Bas Ekpress, Bas Persiaran dan Lori di Hentian Rehat dan Rawat (RnR) arah Utara Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) di Kluang pada Selasa.

Sebelum ini, media melaporkan suspek, Abdul Hamim Ab Hamid, 32, meloloskan diri dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak melalui pintu utama mahkamah berkenaan sebelum lelaki itu dibawa menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 388 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, Ayob Khan berkata, pihaknya juga telah menahan sepasang suami isteri kira-kira jam 12.30 tengah malam pada Selasa di Bukit Gambir, Muar kerana dipercayai terlibat melindungi Abdul Hamim selepas suspek tersebut berjaya meloloskan diri daripada tahanan mahkamah.

"Kita masih lagi mengesan Long Tiger ini yang mana kita percaya masih berada dalam kawasan Bukit Gambir, Muar dan sekitarnya. Kita juga telah menahan sepasang suami isteri warga tempatan masing-masingnya berusia 41 dan 43 tahun kerana disyaki mengetahui serta bersubahat melindungi suspek ini.

"Kedua suspek ini telah direman selama empat hari bermula 21 Disember untuk membantu siasatan. Jadi saya ingin menyeru kepada orang awam untuk jangan sesekali melindungi suspek ini kerana dia sedang diburu, jika kita dapat maklumat ada yang buat juga kita akan ambil tindakan," katanya. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram