Apek dedah cerita sebenar kenapa pilih Sabah FC


  • Podium
  • Ahad, 02 Jan 2022

Khairul Fahmi menyertai Sabah sebagai penjaga gol baharu bagi menghadapi saingan Liga-M musim ini.

PENJAGA gol baharu Sabah FC, Khairul Fahmi Che Mat mengakui kredibiliti dimiliki jurulatih The Rhinos, Datuk Ong Kim Swee merupakan daya penarik utama menyebabkannya memilih menyertai kelab Kepulauan Borneo tersebut bagi saingan Liga-Malaysia (Liga-M).

Malah menurut pemain berusia 32 tahun itu juga mengakui kehadiran pemain tengah berpengalaman, Baddrol Bakhtiar turut mempengaruhinya menggalas cabaran bersama skuad The Rhinos tersebut.

“Salah satunya adalah faktor coach Kim Swee sendiri, seperti kita tahu, saya pernah bersama dia selain saya tertarik dengan misi dan visi pasukan Sabah.

“Selain itu kebanyakan pemain yang menyertai Sabah tahun bagi musim ini adalah yang memang saya kenal sebab pernah bermain bersama semasa Sukan SEA ketika skuad di bawah kendalian Kim Swee selain juga kehadiran seorang pemimpin pasukan, Baddrol Bakhtiar,” katanya.

Terdahulu, Sabah dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman sosialnya mengesahkan, Khairul Fahmi menyertai Sabah bagi menghadapi saingan Liga-M musim ini.

Dalam pada itu, Khairul Fahmi berkata, statusnya sebagai penjaga gawang negara tidak akan menjamin tempatnya dalam kesebelasan utama Sabah memandangkan terdapat beberapa lagi penjaga gol yang hebat dalam skuad tersebut.

Sebaliknya dia bertekad akan berusaha bersungguh-sungguh untuk merebut tempat sebagai penjaga gawang nombor satu skuad The Rhinos.

“Saingan bagi posisi itu agak hebat kerana dalam pasukan terdapat juga beberapa penjaga gol yang hebat seperti Damien Lim dan seorang penjaga gol muda Sabah. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram